Ingin makan kari ikan, lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 29, 2021 06:13 MYT
Usaha pencarian dilakukan di permukaan air menggunakan bot. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Hasrat seorang lelaki untuk menangkap ikan darat untuk masak kari tidak kesampaian apabila disyaki terjatuh ke dalam parit berair berhampiran kawasan tali air di Alor Rela, Langgar, petang Jumaat.
Isteri mangsa Halida Halim, 47, berkata suaminya Mohd Nazri Musa, 51, keluar dari rumah di Pokok Asam, pada jam 10 pagi bertemu dengan enam rakannya untuk menangkap ikan di tempat kejadian.
Katanya, suaminya itu gemar menangkap ikan darat dan selalu membawa pulang untuk dimasak kari.
Menurut Halida dia mengetahui suaminya itu terjatuh dan hilang pada jam 4.20 petang selepas menerima hantaran WhatsApp dari rakannya memberitahu orang ramai sedang mencari suaminya di kawasan parit berkenaan.
Kemudiannya dia terus menghubungi telefon bimbit suami namun dijawab rakan suaminya dan memberitahu suami disyaki terjatuh di parit.
"Apabila saya tiba di sini, saya terlihat motosikal milik suami saya, dengan barangnya masih tergantung," katanya.
Katanya, dia telah melarang suaminya supaya tidak pergi menangkap ikan kerana hujan lebat dan air sungai deras.
Namun suaminya memaklumkan dia sudah berjanji dengan rakannya yang lain dan tidak mahu menghampakan mereka.
Menurut Halida, dia dimaklumkan yang suaminya tidak banyak bercakap pada hari kejadian berbanding selalu.
"Kawan-kawan dia berkata suami saya tidak macam selalu, hanya mendiamkan diri sahaja," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 6.28 petang pihaknya melakukan pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dipanggil namun kerja selaman tidak dapat dilakukan pada sebelah malam kerana berisiko tinggi berikutan hujan lebat mengakibatkan arus deras.
"Kami membuat pencarian secara di permukaan kerana air di kawasan ini agak deras. Kita juga telah mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat di air," katanya.
#lemas #menangkap ikan #Mohd Nazri Musa #parit
;