Ingin kekal cergas sepanjang hari ketika berpuasa? Ini tip makanan sesuai ketika bersahur
Astro Awani
April 12, 2022 09:03 MYT
April 12, 2022 09:03 MYT
PEJAM celik, pejam celik, sudah 10 hari umat Islam di Malaysia meraikan Ramadan, berpuasa di siang hari dan berbuka ketika matahari tenggelam.
Sebulan berpuasa, pelbagai juadah dimasak, bukan sahaja untuk berbuka malah untuk bersahur juga.
Dan selama 30 hari itu jugalah, pelbagai tip sentiasa dikongsi - makanan, ibadah, aktiviti, perniagaan - semuanya disebarkan sebanyak mungkin kepada umat Islam.
Saban tahun juga, antara perkara yang acap kali dibincangkan ialah: Makanan apakah yang sesuai dimakan pada waktu sahur supaya badan kita bertenaga seharian?
Dietitian Medical Mythbusters Malaysia Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, makanan terbaik ketika sahur adalah makanan yang membantu anda mendapat tenaga sepanjang hari.
“Selain itu, makanan itu juga dapat membantu berasa kenyang dengan lebih lama dan juga mampu membekalkan zat-zat yang diperlukan untuk badan berfungsi dengan baik.
“Untuk mencapai ini penting ambil makanan yang terdiri dari ketiga kategori makanan ini iaitu karbohidrat, protein dan serat,” katanya kepada Astro AWANI.
Kepada anda yang mungkin masih tercari-cari makanan sesuai untuk berbuka puasa, Astro AWANI kongsikan tipsnya seperti saranan Nur Hafizah.
1. Makanan berkabohidrat
Karbohidrat adalah sumber utama untuk badan mendapat tenaga supaya kekal cergas dan fokus sepanjang hari.
Tanpa makanan dari kumpulan ini yang mencukupi anda akan cepat penat, mengantuk dan sukar untuk beribadah.
Antara makanan yang dikategorikan dalam karbohidrat ini adalah nasi, mi, bihun, pasta, roti, sayuran berubi (ubi kentang, ubi keledek dan lain-lain) serta makanan berasaskan tepung (seperti lempeng, cucur).
2. Makanan berprotein
Protein adalah kategori makanan yang bukan sahaja menjadi asas utama pelbagai struktur utama badan terutamanya sel darah merah dan otot tetapi ia juga bantu anda kenyang untuk tempoh yang lama.
Tanpa protein yang mencukupi selain mudah merasa penat anda juga boleh mudah merasa lapar dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas bersahur. Anda juga berisiko mendapat anemia (kekurangan sel darah merah).
Antara sumber protein yang berkualiti adalah seperti ayam, ikan, daging, telur dan susu serta produk tenusu.
3. Serat
Serat adalah kategori makanan yang boleh membantu elak pengambilan makanan yang berlebihan, elak rasa sembelit dan juga bantu rasa kenyang lebih lama.
Terdapat dua jenis serat yang diperlukan iaitu serat larut air dari buah dan sumber bijirin (seperti oat, barli) dan serat jenis tidak larut air yang kaya dalam sumber sayur.
Buah dan sayuran selain dari kaya dalam serat ia juga kaya dalam pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan untuk sepanjang hari.
Jelasnya, perlu ada ketiga tiga kategori makanan tersebut ketika bersahur tetapi boleh ambil dalam bentuk pelbagai menu.
“Untuk pastikan anda ambil dengan cukup, amalkan konsep ‘suku suku separuh’ dalam pinggan sihat Malaysia di mana suku dari sumber karbohidrat, suku dari sumber protein dan separuh dari sumber serat.
“Tambah dengan buah satu biji (saiz penumbuk anda) / sepotong dan pastikan anda ambil air yang mencukupi (cadangan dua gelas sewaktu sahur dan satu cawan sewaktu imsak),” ujarnya.