Ingat, video lucah bukan hiburan! - Pakar kriminologi

Wan Syamsul Amly
Mac 31, 2018 18:44 MYT
Masyarakat mungkin terlupa penyimpanan sebarang bentuk video lucah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. - Gambar hiasan
Masyarakat mungkin terlupa penyimpanan sebarang bentuk video lucah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.
Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, lebih mengejutkan ada pihak yang menganggapnya hiburan malah berkongsinya dalam bentuk pesanan termasuk di kumpulan-kumpulan aplikasi WhatsApp.
Jelasnya, paling penting semua pihak harus berwaspada dan segera memadamkan video berkenaan jika ada di dalam simpanan telefon bimbit masing-masing.
"Jadi padamlah, benda ini terutama kaum-kaum lelaki yang dapat video serupa ini mereka ingat hiburan. Tetapi ada undang-undang yang boleh dikenakan tindakan apabila menyimpan video ini.
"Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu melihat semula peranan, dan undang-undang yang ada juga perlu dipinda untuk menjelaskan sebarang video lucah yang dimpan di dalam telefon juga boleh dikenakan tindakan, kena uar-uarkan kepada masyarakat.
"Masyarakat lupa atau tidak tahu ada undang-undang yang demikian, mereka ingat ia bentuk hiburan, tetapi ada undang-undang dikenakan ke atas sesiapa yang menyimpan video lucah ini. Penyimpanan itu bukan di dalam telefon sahaja tetapi apa-apa juga yang digunakan untuk menyimpan bahan lucah ini, ia adalah satu kesalahan," katanya semasa dihubungi, hari ini.
BACA: Padah simpan video dan gambar lucah, pekerja kilang didenda RM7,000
BACA: Penumpang berbogel, tonton filem lucah atas pesawat ditahan
Bagaimanapun, ketika ditanya, apakah hak pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan telefon bimbit secara rambang, ini katanya: "Kalau pihak berkuasa hendak melihat telefon, mereka kena ada asas kerana telefon adalah milik peribadi.
"Dalam apa juga keadaan seseorang yang hendak melihat telefon perlu ada aduan, atau, jika polis syak ada video, pemeriksaan itu harus dibuat di depan tuan punya telefon itu sendiri."
Pada Jumaat, seorang pekerja kilang minyak masak didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbitnya.
Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, K. K. Ravi, 34 tahun, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.
#lucah #Shahul Hamid Abd Rahim #SKMM #Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia #video #video lucah #WhatsApp
;