Ingat senang nak siasat orang kaya yang curi duit? - PM Anwar
Madiha Abdullah
Januari 20, 2024 23:00 MYT
Januari 20, 2024 23:00 MYT
KLANG: Usaha kerajaan untuk menghukum mereka yang terlibat dengan rasuah, termasuk tokoh-tokoh terkemuka tidak harus dipersoalkan.
Dalam ucapan pada Pesta Ponggal Kebangsaan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau merasa pelik apabila ada sesetengah pihak mengkritiknya dan menganggap usaha itu sebagai kejam.
"Apabila kita nak ambil tindakan, ada yang marah. Kata mereka, Perdana Menteri kasar sangat, sibuk nak ambil tindakan.
"Bagi saya, ini aneh. Sepatutnya sokong. Bukan senang nak siasat 'Tun-Tun'. Siasat ketua kampung, senang. Siasat cikgu sekolah Tamil senang, tapi siasat orang kaya yang curi duit tak mudah.
"Oleh kerana kita nak jaga negara, jangan bagi orang curi harta rakyat, kita akan buru penjenayah ini walau dengan apa cara sekalipun," katanya.
Tambah Anwar, selepas melalui pelbagai kesukaran sebelum dilantik sebagai perdana menteri, beliau tidak mungkin melupakan atau memungkiri janji berkhidmat untuk setiap rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama.
"Setelah susah payah masuk keluar penjara, tak mungkin selepas ada jawatan saya lupa janji.
"Saya pernah katakan dahulu, mahu jadi pemimpin di negara ini, mesti siap dasar yang jelas. Anak Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, semua anak saya.
"Sekarang masa untuk terjemahkan (tunai janji). Setahun sudah berlalu, kita baru adakan pemukiman, jadi kita akan tingkatkan usaha walaupun bukan mudah," ujarnya lagi.