'Ingat Allah, ajak kawan imarahkan masjid' - Kaki wheelie ditegur nazir
Sinar Harian
Ogos 27, 2018 18:55 MYT
Ogos 27, 2018 18:55 MYT
JIKA melihat 'mat motor' menunggang motosikal secara 'wheelie' di jalan raya atau di mana-mana, ia boleh dianggap perkara biasa, tetapi jika ke masjid dengan cara itu dilihat dianggap sangat luar biasa.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pemilik Instagram gabansaleh19 atau nama sebenarnya Mohd Al-Amirul Ashshahid.
Melalui video yang berdurasi satu minit itu telah mendapat 226,346 views sehingga jam 4 petang tadi.
Malah ia dikagumi oleh kalangan netizen yang rata-rata memuji sifat baik yang ditunjukkan pemilik Instagram itu.
Bagaimanapun niat baiknya itu turut mendapat teguran oleh nazir masjid.
"Nanti kau buat ni (ini), kau ajar budak-budak sekalilah ya," saran nazir. .
"Saya ajar cara yang betullah dan secara profesional, sudah sampai waktu, kita datang masjid untuk solat berjemaah," balas Al-Amirul.
"Alhamdulillah, kau ajak kawan-kawan kau ramai-ramai imarahkan masjid sekali, di samping kau main sukan lasak ini pastikan sukan lasak ini selamat, paling penting masa kau buat-buat tu (wheelie), kau ingat pada ALLAH, bawa sahabat dan kawan datang (masjid)," sambut nazir lagi.
Melihat kepada latarbelakang pemilik Instagram ini, dia aktif dengan aktiviti dan sukan permotoran ini sejak tahun 1999 lagi dan pernah menyertai banyak pertandingan, sebab itu tidak hairanlah melihat aksinya sangat profesional.
Namun, nasihat kepada netizen, jangan ikut kerana mengundang bahaya terutama kanak-kanak.