Infrastruktur terbaik sektor pertanian pikat anak muda

Astro Awani
September 18, 2023 20:46 MYT
Pihak Agrobank mengambil pendekatana melakukan anjakan pantas kerana faktor di luar kawalan seperti impak perubahan iklim yang akan memberi kesan besar kepada sektor pertanian. - Facebook Agrobank
KUALA LUMPUR: Infrastruktur pertanian moden serta berada di paksi terbaik antara faktor utama belia di negara ini berminat menceburi bidang pertanian.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin memberitahu, minat anak muda yang merebut peluang menjana pendapatan selaras dengan profesien lain harus didorong untuk menghasilkan pelapis masa depan.
"Kebanyakan daripada petani-petani dalam 75 peratus adalah dalam usia tua jadi kita perlukan pelapis. Jadi untuk meningkatkan minat kepada mereka-mereka yang muda remaja, beberapa pengkhususan, beberapa cara telah diperkenalkan Kerajaan melalui kita sendiri Agro Bank pun.
"Kita perkenalkan Pro Best. Satu kolaborasi dengan universiti-universiti seperti contoh kita kolaborasi dengan UPM untuk pembangunan belia tani dalam kalangan siswazah," katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, antara bentuk bantuan untuk golongan belia termasuk pemberian dana Kerajaan melalui Agrobank sebanyak RM950,000 sebagai modal permulaan petani muda serta peruntukan pinjaman RM100 juta kepada usahawan di bawah usia 40 tahun.
Dalam masa sama, pihak Agrobank mengambil pendekatan melakukan anjakan pantas kerana faktor di luar kawalan seperti impak perubahan iklim yang akan memberi kesan besar kepada sektor pertanian.
Ini kerana tanaman makanan ruji termasuk padi antara paling berpotensi terkesan akibat fenomena El Nino sekali gus mengancam sekuriti bekalan makanan lain.
"Kita tak tahu apa akan berlaku dalam tiga hingga lima tahun ke depan, contohnya El Nino yang sering diperkatakan mungkin akan effect kepada penghasilan pertanian. Jadi kita kena bermula daripada sekarang. Kita harus menyediakan diri untuk mengatasi kebarangkalian yang berlaku.
"Antara saya fikir meningkatkan penghasilan melalui teknologi, itu adalah cara yang paling terbaik. Kalau kita pergi kepada cara tradisi, ia tidak akan boleh meningkatkan penghasilan bagus untuk kita keluar daripada kebergantungan untuk import," katanya.
#muda #usahawan #AgroBank #El Nino
;