Infrastruktur 5G: Anwar gesa isu DNB dibahas di Dewan Rakyat

Harits Asyraf Hasnan
Disember 14, 2021 14:37 MYT
Menurut Anwar, pelaksanaan inisiatif kerajaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan dari segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai kelak. - Sumber foto Pejabat DSAI
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya isu berkaitan pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ujarnya, pelaksanaan inisiatif kerajaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan dari segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai kelak.
"Kita telah minta supaya isu ini dibahas, namun ia memang terbatas kerana kita telah kemukakan kepada Kementerian Kewangan, tapi tidak berjawab.
"Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ada yang menjawab, tetapi sebahagiannya mereka tidak tahu, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin jawab bahawa inisiatif ini telah dibentangkan, masih tidak ada maklumat terperinci.
"Bagaimana satu projek yang mungkin mencecah RM20 bilion, kita tidak tahu dan tidak boleh pertahankan dari segi rasionalnya serta apa keperluan sekarang.
"Kemudian kata nak dibuat di bandar, jadi orang yang ada di kampung atau pedalaman Sabah dan Sarawak ini nak tunggu sampai bila? Sudahlah 4G pun tak dapat," katanya di perkarangan Parlimen hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima salinan memorandum empat muka surat yang menuntut Parlimen mengkaji semula penubuhan DNB.
Memorandum yang dikemukakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gegar Malaysia, Zainurizzaman Moharam itu antara lain menuntut supaya penilaian terperinci terutamanya impak kesihatan, impak alam sekitar dan impak sosial perlu dilakukan dengan segera dan laporan tersebut adalah terbuka untuk akses orang ramai.
NGO itu turut menuntut supaya kos sebenar bagi pembangunan infrastruktur teknologi 5G dan kos penubuhan DNB dibentangkan di Parlimen.
Mereka juga mahu kementerian bertanggungjawab membuat penyebaran maklumat yang telus dan menyeluruh termasuk perbincangan terperinci dengan pihak berkepentingan, pemain utama industri dan orang ramai bagi mengelakkan sebarang ketirisan berlaku bagi pembangunan infrastuktur 5G di seluruh negara.
Turut hadir di penyerahan MoU berkenaan ialah Pengarah Komunikasi PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
#Anwar Ibrahim #Digital Nasional Berhad #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #Muhyiddin Yassin
;