Infodemik jadi ancaman, punca kebebasan media semakin berkurangan
Madiha Abdullah
Mei 3, 2021 10:29 MYT
Mei 3, 2021 10:29 MYT
KUALA LUMPUR: Ketelusan dalam pelaporan merupakan salah satu aspek di bawah kebebasan media yang menjadi topik perdebatan sepanjang pandemik COVID-19.
Penganalisis politik dan sosial media, Dr Sara Chinnasamy berkata, ini juga merupakan satu cabaran besar terutama bagi Malaysia yang jatuh ke tangga 119 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021.
Namun, kejatuhan itu perlu dilihat secara kritis memandangkan salah satu punca ia terjadi ialah kerana kerajaan perlu melaksanakan langkah kawalan media untuk membendung penyebaran berita palsu.
Katanya, kerajaan terpaksa menyekat situasi infodemik dalam negara dan ini sekali gus memberi kesan kepada kebebasan media.
"Kita perlu lihat parameter yang diguna pakai untuk buat penilaian. Tak boleh setakat nampak kedudukan itu jatuh, tetapi ia melambangkan usaha kerajaan untuk memantau dan mengawal penularan berita palsu.
"Ini lebih kepada aspek keselamatan negara. Berita palsu sudah berleluasa sejak setahun yang lalu. Ini yang dikatakan infodemik, iaitu fakta dan informasi yang salah.
"Apabila kes jangkitan dan kematian semakin banyak, infodemik mula menjadi ancaman yang besar.
"Jadi, kerajaan perlu ambil inisiatif untuk sekat perkara ini, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kebebasan media," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Justeru, Sara melihat kewujudan Majlis Media Nasional sebagai satu keperluan terutama dalam membantu memberi nilai tambah kepada prospek dan tahap profesional kewartawanan.
"Media perdana terutamanya memainkan peranan penting dalam menangkis berita palsu. Kerana itu penubuhan Majlis Media Nasional ini perlu disegerakan.
"Ia akan membantu menaikkan standard pemberitaan, menyokong standard kewartawanan dan menaikkan profesionalisme mereka.
"Badan kawal selia seumpama ini boleh memainkan peranan dalam memastikan kebebasan pergerakan media, operasi dan undang-undang berkaitan, juga jatuh di bawah kendaliannya.
"Jadi, ia lebih memudahkan," ujar Sara lagi.
Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 101 dalam senarai indeks tersebut.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan mengambil maklum tentang Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) dan sentiasa komited dalam menyokong dan menegakkan kebebasan media di negara ini.
#Media
#pandemik
#COVID-19
#infodemik
#undang-undang
#Kebebasan Media
#kerajaan
#keselamatan
#fakta
#palsu
#informasi salah
#Majlis Media Nasional
#berita palsu
#Sara Chinnasamy
#Indeks Kebebasan Media
#ketelusan
#pemberitaan
#kewartawanan
#Reporters Without Borders