Info bantuan tidak sampai, perlu cara lebih efektif - Mangsa banjir
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 28, 2021 15:57 MYT
Disember 28, 2021 15:57 MYT
SEPANG: Sememangnya telah banyak peruntukan yang diumum oleh kerajaan bagi meringankan bebanan mangsa banjir yang teruk terjejas akibat bencana itu baru-baru ini.
Bagaimanapun mungkin dalam kesibukan dan trauma menguruskan situasi pascabanjir, hanya sebahagian daripada mangsa yang mengetahui mengenai cara peruntukan tersebut disalurkan, manakala sebahagian yang lain tidak langsung menyedarinya.
Melihat dan meninjau perkembangan terkini mangsa banjir, rata-rata yang ditemui masih sibuk dengan urusan pascabanjir termasuk urusan membersihkan kediaman mereka sehingga kini.
Malah disebabkan urusan tersebut juga mereka terlepas informasi dan juga maklumat berkenaan proses dan cara untuk melayakkan mereka menikmati bantuan yang seharusnya diperolehi bagi meringankan sedikit beban mereka.
"Sepatutnya pada ketika atau tahap ini wakil-wakil pihak dari agensi berkaitan datang berjumpa mangsa banjir untuk memaklumkan peruntukan dan cara yang perlu untuk kami mohon.
"Kalau nak harapkan kami pergi atau mencari maklumat itu memang agak sukar ketika ini, apatah lagi banyak peralatan termasuk sebahagian alat komunikasi kami juga musnah tetapi malangnya sampai sekarang masih tiada siapa-siapa yang datang berbuat demikian," kata Nurul Syuhada Hamidon, 35, salah seorang mangsa banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil di sini.
Bahkan katanya lagi, kebanyakan bantuan yang diterima ketika ini masih lagi mengharapkan daripada sumbangan sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Malah di kawasan itu dakwanyanya masih lagi belum terlihat kelibat mana-mana wakil kerajaan mahupun wakil rakyat kawasan berkenaan.