Influenza: Kumpulan risiko disyor dapat pelalian vaksin tahunan
Bernama
April 25, 2017 11:00 MYT
April 25, 2017 11:00 MYT
Kumpulan berisiko tinggi dijangkiti virus influenza dinasihatkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza setiap tahun, menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee.
Beliau berkata gejala influenza tidak sama dengan selesema biasa kerana komplikasi influenza boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada sehingga membawa maut jika tiada langkah pencegahan diambil.
Menurutnya, kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua lebih 65 tahun, kanak-kanak lima tahun ke bawah, wanita hamil dan pengidap penyakit jangkitan paru-paru atau penyakit jantung, HIV/AIDS, kencing manis, asma, serta pekerja penjagaan kesihatan digalakkan mengambil vaksinasi tersebut.
"Pengurangan risiko dijangkiti penyakit influenza kemungkinan dapat diturunkan antara 50 hingga 70 peratus jika orang dalam kategori ini mendapatkan vaksin ini. Justeru, kami menasihatkan mereka mendapatkan vaksinasi setiap tahun kerana ia dapat melindungi mereka, " katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada 12 April lepas, seorang wanita hamil meninggal dunia akibat influenza A (H1N1) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu manakala tujuh ahli keluarga wanita tersebut mengalami gejala sama di mana seorang didapati positif H1N1.
Dr Lee menegaskan bahawa H1N1 bukan merupakan virus baharu kerana ia telah mula dikesan sebagai selesema babi pada 24 April 2009 dan pada 11 Jun tahun tersebut, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan influenza A H1N1 pandemik Fasa 6.
Fasa 6 pandemik diisytiharkan apabila terdapat penularan wabak ini dari manusia kepada manusia secara mendadak dan melibatkan lebih dari dua benua. Malaysia melaporkan kes pertama influenza H1N1 pada 15 Mei 2009.
"Kita tidak mempunyai vaksin ketika itu (pada 2009) tetapi kini sudah ada. Walaupun, kebanyakan hospital menyimpan stok tetapi kita mungkin tidak mampu memberi vaksin untuk setiap orang kerana kekurangan bekalan stok atau kekangan kewangan," kata Dr Lee.
Katanya, dalam kes-kes di mana vaksin di hospital kerajaan tidak boleh didapati, orang ramai boleh mendapatkan vaksin itu di mana-mana fasiliti kesihatan swasta dengan harga serendah RM40 hingga RM100 bergantung kepada jenama.
Menurut pakar penyakit berjangkit itu, terdapat vaksin yang merangkumi tiga jenis infuenza (trivalen) dan satu lagi vaksin merangkumi empat jenis virus (kuadrivalen).
Menurut, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, vaksin selesema tahunan adalah disyorkan untuk semua individu berusia enam bulan ke atas.
CDC berkata vaksin influenza diperlukan setiap tahun kerana tindak balas imun badan daripada vaksinasi menurun dari masa ke masa dan, kerana virus selesema sentiasa menjalani mutasi maka kandungan vaksin selesema dikaji semula setiap tahun dan kadang-kadang dikemas kini untuk bersaing dengan perubahan virus selesema.
Ditanya mengenai perbezaan antara selesema dan influenza, Dr Lee berkata gejala influenza dicirikan antara lain, demam secara tiba-tiba, batuk kering, sakit kerongkong, berhingus sedangkan selsema biasanya berhingus.
Katanya, selesema biasa tidak membawa maut tetapi influenza boleh menyebabkan komplikasi antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru) yang boleh menyebabkan kematian dalam kes-kes tertentu.
Dr Lee berkata, sekiranya perlu , doktor akan mengambil sampel swab tekak terutama daripada pesakit dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mengesahkan kes influenza.
Dr Lee berkata di kawasan iklim sederhana seperti United Kindom, wabak bermusim berlaku terutamanya pada musim sejuk manakala di Malaysia, sebagai negara tropika, ia adalah penyakit tidak bermusim dan boleh berlaku sepanjang tahun.
"Kebanyakan orang dalam kategori risiko rendah (orang sihat tanpa masalah perubatan sampingan) yang mengidap virus ini boleh pulih dalam masa satu atau dua hari selepas dijangkiti dengan syarat mereka banyak berehat, minum banyak air dan mengambil ubat parasetamol.
"Influenza boleh di dicegah kerana ia bukan lagi sesuatu yang baharu. Malangnya, kita kehilangan seorang wanita mengandung akibat penyakit ini awal bulan ini. Ia adalah satu peringatan bahawa influenza boleh membunuh," katanya.
Dr Lee juga mencadangkan supaya rakyat Malaysia supaya sentiasa mengamalkan adab batuk yang baik bagi mencegah penularan jangkitan influenza, amalan kerap membasuh tangan serta mengekalkan tahap kebersihanan diri yang tinggi.
-- BERNAMA