Inflasi Malaysia pada Julai meningkat 2.0 peratus, kekal sejak Mei 2024

Nina Rozman
Ogos 22, 2024 12:00 MYT
Inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Julai 2024, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Jun 2024. - Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia pada Julai 2024 meningkat 2.0 peratus, kekal sejak Mei 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.1 berbanding 130.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan inflasi pada Julai 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.4 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.2 peratus) dan kesihatan (1.9 peratus).
Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman (1.6 peratus) telah merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
Selain itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus), pendidikan (1.7 peratus), pengangkutan (1.2 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.9 peratus) meningkat pada kadar yang sama seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya
Uzir mengulas lebih lanjut, peningkatan inflasi restoran dan perkhidmatan ini disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.3 peratus (Jun 2024: 4.2 peratus).
"Manakala, peningkatan inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan & perkhidmatan yang meningkat 3.2 peratus pada Julai 2024 berbanding 2.8 peratus pada Jun 2024 disumbang oleh kelas perbelanjaan barang kemas & jam tangan kepada 18.1 peratus (Jun 2024: 15.3 peratus)," katanya dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) Julai 2024 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Seterusnya, kumpulan makanan dan minuman (1.6 peratus) telah merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
Pada perkembangan sama, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus), pendidikan (1.7 peratus), pengangkutan (1.2 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.9 peratus) meningkat pada kadar yang sama seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus.
"Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.4 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.6 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).
"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan lebih rendah dalam inflasi makanan dan minuman," kata Uzir.
Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.0 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.8 peratus), Sarawak (1.9 peratus), Sabah (1.7 peratus), Pahang (1.6 peratus) dan Terengganu (1.6 peratus), ulas beliau.
Tambahnya lagi, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman nasional iaitu 1.6 peratus pada Julai 2024.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Julai 2024 merekodkan kenaikan perlahan 0.1 peratus (Jun 2024: 0.2 peratus).
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh insurans & perkhidmatan kewangan (0.5 peratus), restoran & perkhidmatan penginapan (0.4 peratus), kesihatan (0.3 peratus) dan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.3 peratus).
Di samping itu, inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Julai 2024, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Jun 2024.
Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (2.0%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.4%), Filipina (4.4%), Republik Korea (2.6%), Zon Euro (2.6%) dan Indonesia (2.1%). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.8%) dan China (0.5%).
#Indeks Harga Pengguna #Inflasi #ekonomi #Mohd Uzir Mahidin