Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.8 peratus pada September
Nina Rozman
Oktober 24, 2024 12:42 MYT
Oktober 24, 2024 12:42 MYT
KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia pada September 2024 meningkat lebih rendah kepada 1.8 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan inflasi pada September 2024 telah didorong oleh peningkatan perlahan bagi kumpulan utama penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus).
Ini diikuti oleh pengangkutan (1.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.8 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus) serta maklumat dan komunikasi (0.4 peratus).
Manakala, pakaian dan kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa inflasi rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.1 pertaus) meningkat lebih tinggi pada September 2024 (Ogos 2024: 2.0 peratus).
"Ini disebabkan oleh peningkatan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan rekreasi pada 4.0 peratus (Ogos 2024: 2.8 peratus)
"Sementara itu, restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.1 peratus); makanan dan minuman (1.6 peratus); kesihatan (1.6 peratus); pendidikan (1.5 peratus) dan insurans dan perkhidmatan kewangan (0.5 peratus) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya", kata Ketua Perangkawan.
Katanya, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada September 2024, kadar yang sama direkodkan pada Ogos 2024.
Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.4 peratus (Ogos 2024: 0.3 peratus) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbalnajaan daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus (Ogos 2024: -0.7 peratus).
Uzir turut menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus.
"Walau bagaimanapun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.1 peratus), Pahang (2.7 peratus), Sarawak (2.3 peratus) dan Selangor (2.3 peratus)
"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan & minuman kecuali Wilayah Persekutuan Labuan (-0.1 peratus)", kata beliau.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2024 kekal tidak berubah berbanding Ogos 2024.
Walaupun kumpulan utama makanan dan minuman; minuman alkohol dan tembakau; penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan dan restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 peratus pada September 2024, namun ia diimbangi dengan penurunan kumpulan pengangkutan (-0.2 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus); kesihatan (-0.1%) dan maklumat & komunikasi (-0.1 peratus).
Selain itu, inflasi bagi suku tahun ketiga 2024 kekal 1.9 peratus (ST2 2024: 1.9 peratus).
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, inflasi Malaysia meningkat 0.4 peratus (ST2 2024: 0.6 peratus).
Sementara itu, inflasi teras meningkat lebih rendah sebanyak 1.8 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 1.9 peratus).
"Peningkatan ini didorong oleh kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan & perkhidmatan (3.1 peratus) dan makanan dan minuman (2.3 peratus)", katanya lagi.
Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8 peratus) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.6 peratus) dan Filipina (1.9 peratus).