Inflasi makanan Malaysia dijangka dalam aliran meningkat - MIDF

Bernama
Mei 23, 2022 11:53 MYT
Sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.- Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.
"Inflasi makanan global kekal tinggi terutamanya harga jagung, bijirin dan sayur-sayuran.
"Bagaimanapun, kami berpendapat tekanan inflasi secara keseluruhannya akan kekal stabil berikutan inflasi bahan api yang berada dalam aliran penurunan," katanya dalam satu nota ekonomi hari ini.
Menurut bank pelaburan itu, penyusutan inflasi bahan api tersebut akan menampung kenaikan inflasi makanan dengan mengandaikan kerajaan mengekalkan had harga semasa minyak RON95 dan diesel.
"Namun, jika purata inflasi makanan melonjak kepada 10.0 peratus, purata inflasi keseluruhan akan berada pada 4.6 peratus," katanya.
Menurutnya, dalam senario buruk, purata inflasi keseluruhan diunjurkan pada 8.9 peratus sekiranya kerajaan memilih untuk mengapungkan harga bahan api manakala purata inflasi makanan pada 10.0 peratus.
-- BERNAMA
#inflasi makanan #MIDF #ringgit #harga barang #rantaian bekalan #krisis Rusia Ukraine
;