Inflasi keseluruhan, teras diunjur berpurata 2.8-3.8 peratus pada 2023 - BNM

Bernama
Mac 29, 2023 12:45 MYT
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus pada 2023. -Gambar hiasan/Freeimages
KUALA LUMPUR: Meskipun trend pertumbuhan dijangka sederhana, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal tinggi secara purata pada 2023 disebabkan beberapa faktor penting, antaranya permintaan dalam negeri yang terus kukuh dan pasaran pekerja yang bertambah baik, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata faktor berkenaan dijangka mendorong inflasi teras untuk kekal tinggi dalam tempoh terdekat, lantas mengatasi inflasi keseluruhan untuk beberapa bulan pada 2023.
Menurutnya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus pada 2023.
"Inflasi keseluruhan mula menjadi sederhana sejak suku keempat 2022 selepas mengalami peningkatan pada sebahagian besar 2022 dan keadaan ini mencerminkan faktor kos global yang menjadi sederhana.
"Pada 2023, persekitaran kos global dijangka terus sederhana berikutan penambahbaikan dalam kekangan bekalan serta permintaan global yang semakin lembap.
"Harga komoditi utama seperti minyak dan produk pertanian diunjurkan berpurata lebih rendah dan menyumbang kepada inflasi keseluruhanlebih rendah," katanya.
Menurutnya harga komoditi global menjadi antara punca utama kenaikan inflasi dalam negeri pada 2022 yang boleh mendorong inflasi lebih tinggi sekiranya konflik geopolitik di Ukraine semakin buruk.
Tahap tekanan inflasi juga akan terus bergantung kepada sebarang perubahan terhadap dasar dalam negeri yang berkaitan dengan subsidi dan kawalan harga.
Dalam keadaan tekanan kos yang berlanjutan sejak dua tahun lepas, peningkatan harga pada masa hadapan mungkin akan terus mengejar kenaikan kos yang telah berlaku dan boleh mendorong tekanan inflasi yang berterusan dan menangguhkan penurunan inflasi kepada purata jangka panjang.
"Risiko inflasi menjadi rendah disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global yang lebih lemah berikutan persekitaran pertumbuhan ekonomi global yang lebih lemah.
"Dalam negeri, jika permintaan terpendam yang sebahagiannya menyokong perbelanjaan isi rumah pada 2022 luput pada kadar yang lebih pantas, tekanan inflasi mungkin berkurang," kata BNM.
Sementara itu, perkembangan pasaran kewangan dan kadar pertukaran domestik akan dipengaruhi terutamanya oleh tiga faktor risiko luaran utama termasuk kesan daripada pembukaan semula ekonomi China yang boleh meningkatkan sentimen pelabur terhadap pasaran kewangan serantau.
Meskipun terdapat kesan positif, pembukaan semula tersebut boleh mendorong inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan yang memerlukan tindak balas dasar monetari yang lebih ketat oleh bank pusatnya, serta mendorong volatiliti yang lebih tinggi dalam pasaran kewangannya.
"Volatiliti sedemikian boleh memberikan kesan limpahan terhadap pasaran kewangan Malaysia, tetapi keadaan ini dijangka kekal terurus.
"Hal ini mencerminkan penurunan struktur bagi tahap kesan limpahan pasaran kewangan dari China sejak beberapa tahun lepas, khususnya sejak penurunan nilai renminbi China pada 2015," katanya.
Sementara itu, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Yunus dalam prakata laporan ini berkata tahun 2023 akan kekal menjadi tahun yang mencabar dan tidak menentu bagi kebanyakan ekonomi.
"Pertumbuhan global dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam persekitaran inflasi yang tinggi dan dasar monetari yang ketat," katanya.
Menurutnya tekanan perbankan yang diperhatikan di sesetengah ekonomi utama telah meningkatkan ketidakpastian.
Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan oleh permintaan luar negeri yang lebih perlahan dan pergolakan pasaran kewangan global, katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #Inflasi #Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 #Nor Shamsiah Yunus
;