Inflasi April 2022 catat 2.3 peratus, inflasi makanan naik kepada 4.1 peratus
Astro Awani
Mei 25, 2022 12:27 MYT
Mei 25, 2022 12:27 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna April 2022 meningkat 2.3 peratus kepada 125.9 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022 iaitu 1.9 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan perkara tersebut dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman merekodkan kenaikan.
"Ini diikuti restoran dan hotel (3.2 peratus); pengangkutan (3.0 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.7 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.8 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.3 peratus).
"Pendidikan mencatatkan peningkatan 1.0 peratus sementara perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 0.8 peratus.
"Minuman alkohol dan tembakau serta kesihatan masing-masing meningkat secara marginal 0.5 peratus dan 0.2 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, inflasi komunikasi kekal tidak berubah, manakala pakaian dan kasut menurun 0.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Mohd Uzir menjelaskan, kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
"Inflasi kumpulan ini meningkat 4.1 peratus pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Peningkatan bagi kumpulan ini sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen makanan di luar rumah yang meningkat 4.4 peratus berbanding 4.0 peratus yang dicatatkan pada bulan Mac 2022.
"Sebagai contoh, sate dan nasi berlauk mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi sebanyak 7.1 peratus (Mac 2022: 6.6 peratus).
"Masakan berasaskan sayur dan masakan berasaskan daging masing-masing meningkat 6.9 peratus (Mac 2022: 5.7 peratus) dan 5.7 peratus (Mac 2022: 5.2 peratus)," katanya.
Jelas beliau lagi, makanan di rumah yang merujuk kepada bahan mentah untuk penyediaan makanan di rumah meningkat 4.1 peratus berbanding setahun lalu.