Industri vape dikhuatiri bakal malap - Penasihat MEBA

Nurulhana Ismail
November 10, 2015 19:07 MYT
Realitinya, dengan berlaku penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan terhadap perusahaan vape akan menyaksikan industri itu terhenti. - Gambar Fail
Penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan terhadap perusahaan vape dikhuatiri akan menyaksikan industri itu terhenti serta-merta berikutan kebanyakan pengusaha vape merasakan ketetapan yang dikenakan sukar dipatuhi.
Menurut Penasihat Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA), Syazwan Abdul Razak, 95 peratus pengusaha mengeluarkan modal sendiri dan membuat pinjaman bagi memulakan perniagaan.
"Industri vape di negara ini, pada hari ini kelihatan malap kerana garis panduan yang ada ketika ini terlalu sukar dipenuhi.
"Kami terdiri daripada pengusaha kecil ataupun industri dari rumah, belum pun sampai tahap IKS (industri kecil dan sederhana) lagi,” ujarnya.
Jelas Syazwan, bagi memulakan perusahaan itu, modal yang terlibat boleh mencecah sehingga RM500,000.
Tambahnya di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja terdapat 200 ke 300 pengusaha vape berdaftar yang menjalankan perniagaan
Beliau berkata, pihaknya serta kumpulan pengusaha vape lain tidak pernah dipanggil bagi sesi dialog mahupun rundingan sebelum penguatkuasaan itu dilaksanakan dan sentiasa terbuka dan bersedia untuk berunding demi manfaat semua pihak.
Selain itu katanya beliau merayu agar kerajaan mempertimbang untuk tidak meletakkan (cecair) vape di bawah Akta Dadah dan Kosmetik kerana katanya langkah itu hanya akan menggalakkan pasaran gelap.
"Akta Dadah dan Kosmetik adalah untuk industri besar. Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mempertimbangkan agar industri ini diselia di bawah akta khas seperti Akta Kawalan Ubat-Ubatan Tradisional,” ujarnya.
Justeru katanya kawal selia yang berkesan perlu dijalankan semua pihak baik dari pengelur cecair vape, pekedai dan gabungan pengguna bagi memastikan langkah kawalan lebih berkesan.
Sejak beberapa tahun lalu, industri vape mencatatkan peningkatan dengan bilangan pengguna mencecah dua juta orang.
#industri #Kementerian Kesihatan #kerajaan #KPDNKK #perniagaan #perusahaan #vape
;