Industri tekstil negara berpotensi besar - PM
Bernama
Mei 10, 2022 23:37 MYT
Mei 10, 2022 23:37 MYT
LONDON: Industri tekstil negara khususnya fabrik unik dan kreatif seperti tenunan serta batik berpotensi besar untuk membawa negara ke persada antarabangsa dan menjadi komoditi menguntungkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Melahirkan keyakinan industri negara seperti Tenun Pahang Diraja, batik, songket dan tekat berdaya maju untuk diketengahkan di mata dunia, beliau berkata industri tekstil negara mampu menarik ramai orang sekali gus menjana pendapatan.
"Saya percaya jika promosi besar-besaran dapat dilakukan (bagi memperkenal industri tekstil negara seperti tenunan dan batik) di London, ia mampu menarik pelancong yang datang ke kota ini," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Ismail Sabri, yang tiba di ibu negara United Kingdom pada awal pagi Selasa, melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung kalinya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri serta delegasi dan kemudian melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang bermula semalam hingga Ahad ini.
Tunku Azizah, yang memperjuangkan program tenunan tanah air, turut berkenan memberi penjelasan kepada Ismail Sabri berkaitan pameran itu, yang antara lain memperagakan tenunan dari penjara dan menampilkan busana tenunan termasuk koleksi persalinan tenun Raja Permaisuri Agong.
Perdana Menteri, yang sedang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat, berada di London untuk melawat pameran itu dan menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia bersama rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom.
Ismail Sabri, yang merupakan Ahli Parlimen Bera, melahirkan rasa bangga dengan sambutan memberangsangkan Pameran Tenun Pahang Diraja 'menyulam harapan' sempena Minggu Kraf London kerana ia melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.
Beliau berkata program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai.
Merujuk cadangan kerajaan Pahang untuk menubuhkan pusat tenunan di Pekan, Perdana Menteri percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak institut latihan berkaitan industri tekstil negara akan diwujudkan pada masa depan.
Ismail Sabri, yang turut mempelopori pemakaian batik pada setiap Khamis dalam kalangan penjawat awam dan Ahli Parlimen, berkata beliau bangga batik negara kini semakin diterima dan pemakaiannya semakin menggalakkan.
Perdana Menteri dan delegasi kemudian berlepas ke Washington DC pada 5 petang waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).
-- BERNAMA
#industri tekstil
#fabrik
#tenunan
#komoditi
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#Tenun Pahang Diraja
#Raja Permaisuri Agong
#Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah