Industri tekstil dahaga tenaga mahir

Nabihah Hamid
Februari 28, 2015 14:13 MYT
Pengasas Riaz Anggun, Azlina Ahmad. Foto AWANI / Nabihah Hamid
Tenaga mahir dalam sektor tekstil atau lebih khusus tukang jahit mahir adalah elemen penting dalam memastikan kelangsungan penawaran produk industri fesyen untuk terus berjaya.
Bagaimanapun kekurangan kuantiti kemahiran menjadi masalah utama kepada pengasas Riaz Anggun, Azlina Ahmad.
Menurut, Azlina 34 tahun, agak sukar untuk mendapatkan tukang jahit tempatan untuk memenuhi permintaan produknya seperti jubah dan baju kurung.
Disebabkan itu, untuk menghasilkan produk yang lebih banyak, ibu kepada tiga orang anak ini beralih arah kepada tukang jahit warga asing.
"Tahun lepas, masalah saya adalah tukang jahit. Pengeluaran saya tidak dapat memenuhi permintaan. Saya hanya dapat hasilkan paling banyak 150 helai jubah. Walhal permintaan 300 helai setiap bulan," katanya kepada Astro AWANI.
"Susah betul hendak dapat tukang jahit yang betul-betul komited tapi syukur saya sudah ada sembilan tenaga kerja sekarang," katanya lagi.
Hampir dua tahun berkecimpung secara sambilan, Azlina yang mengendalikan sepenuh masa ini berharap ada tenaga mahir warga tempatan akan diperkasakan.
Selain masalah modal untuk membesarkan perniagaan, Azlina mengakui tenaga mahir warga asing lebih rendah kos dan upahnya.
Justeru, beliau berharap perkara ini akan di ambil perhatian kepada pihak-pihak tertentu.
"Kos untuk tukang jahit sudah satu perkara lain, duit modal juga satu masalah besar. Kalau saya hendak membuat pinjaman daripada TEKUN misalnya, ia masih lagi tidak mencukupi.
"Sebelum ini saya hanya pinjam modal daripada adik-beradik dan sanak saudara sahaja," katanya.
Untuk itu katanya, perlu untuk Kerajaan mewujudkan lebih banyak lagi saluran untuk pengusaha kecil sepertinya.
Meskipun Riaz anggun tidak mempunyai butik sendiri dan beroperasi secara online, Azlina sering menyertai karnival jualan seluruh negara.
"Baru-baru ini saya sertai karnival jubah di PWTC, dan Mood Republik di Pulau Pinang. Dari situ pelanggan saya dapat membeli baju saya," katanya lagi yang mengakui untung yang diperolehi setiap kali di karnival pernah mencecah puluhan ribu.
Untuk itu katanya, jahitan produk baju yang kemas, berkualiti dan selesa merupakan faktor produknya laris sehingga kini.
"Mestipun perniagaan saya masih kecil, tetapi saya sentiasa mementingkan kualiti. Saya banyak ambil kerawang baju atau 'lace' yang berkualiti dari Thailand.
"Seperti Jubah saya, saya pastikan kain yang berkualiti dan tidak panas. Yang penting pelanggan selesa," ujarnya lagi.
Riaz Anggun katanya lebih aktif di laman Facebook berbanding Instagram.
Jika dahulu pada tahun pertama, beliau hanya mengambil tempahan daripada kawan-kawan sekerja tetapi kini ia sudah berkembang dengan mengusahakan secara online.
#Azlina Ahmad #baju kurung #fesyen #jubah #riaz anggun #tekstil
;