Industri solar, biodiesel perlu diperkasakan semula - Prof Jomo
Israr Khalid
Disember 7, 2022 09:30 MYT
Disember 7, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu kembali memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan semula industri solar dan biodiesel yang dilihat mempunyai potensi besar.
Menurut pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram, kedua-dua industri itu sebenarnya sudah dimulakan sejak lebih dua dekad lalu.
Namun, katanya, ia sekian lama diabaikan dan kini antara yang amat diperlukan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar panel solar tetapi hampir kesemua syarikat besar yang menerajui industri itu adalah syarikat asing.
“Bidang ini bukan terlalu canggih dan terlalu susah untuk diserapi, kalau kita lihat alat-alatnya tidak begitu sukar untuk dibuat.
“Sebuah kereta Proton misalnya memerlukan lebih daripada 4,000 bahagian sedangkan untuk satu panel solar hanya kurang daripada 200 bahagian,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Keadaan yang sama juga, jelas Jomo, dalam bidang biodiesel yang bersumber daripada minyak kelapa sawit, di mana perkara ini menurutnya sudah dibincangkan sejak dekad 80-an lagi.
Bagaimanapun, katanya, kelihatan hampir tidak ada usaha serius untuk memajukan dan mengembangkannya, sedangkan Malaysia adalah antara pengeluar terbesar produk berasaskan kelapa sawit di dunia.
Tegas beliau, pemerkasaan industri-industri berpotensi besar sedia ada ini merupakan langkah yang perlu diambil sebagai antara solusi untuk menggandakan pendapatan negara dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat.