Industri sarang burung walit mampu tingkat ekonomi rakyat - Jeffrey
Eleanor Michelle Patrick
Januari 30, 2021 04:00 MYT
Januari 30, 2021 04:00 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited dalam mencari kaedah efektif dan efisyen dalam memajukan ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri akan membangunkan industri sarang burung walit sebagai salah satu usaha menghidupkan semula ekonomi tempatan.
"Sekarang ini terlalu ramai individu yang telah kehilangan kerja, atau gaji mereka dipotong.
"Salah satu cara untuk menggantikan kerja-kerja yang telah hilang adalah dengan mengembangkan ekonomi sedia ada, seperti membangunkan industri sarang burung walit," katanya.
Jelas beliau, kerajaan negeri sudah menyediakan pelan untuk membangunkan Lembaga Burung Walit pada tahun ini bagi menyelaraskan industri tersebut.
Tambah beliau lagi, lembaga tersebut bertanggungjawab dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menambah nilai kepada produk sarang burung walit di Sabah.
Bahagian R&D lembaga tersebut akan memerlukan pelaburan daripada kerajaan.
"Ia merupakan suatu keperluan bagi kelangsungan dan pertumbuhan industri ini di Sabah.
"Kita tidak boleh bergantung kepada bahan mentah sahaja.
"Satu kilogram sarang burung walit yang berkualiti boleh mencecah RM5,000 tetapi pemprosesan bahan mentah tersebut boleh memberikan pengendali sebanyak RM15,000 atau lebih bagi setiap kilogram.
"Aktiviti ini akan dapat menghasilkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat, tanpa mengira faktor umur atau jantina. Inilah yang kita mahukan untuk orang-orang Sabah," katanya.
Jeffrey yang juga merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata kerajaan negeri akan berkerjasama dengan sektor swasta, terutama sekali dengan mereka yang berpengalaman dalam industri ini, untuk membina kilang pemprosesan di Sabah.