Industri runcit dijangka terus catat pertumbuhan dua angka tahun ini - MRCA
Bernama
Jun 23, 2023 07:15 MYT
Jun 23, 2023 07:15 MYT
PETALING JAYA: Industri runcit Malaysia berkemungkinan mencatat pertumbuhan dua angka, melepasi anggaran pertumbuhan purata 9.0 peratus tahun ke tahun, kata Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA).
Timbalan Presidennya Ken Phua berkata beliau optimis mengenai sektor itu, didorong oleh usaha kukuh kerajaan untuk menarik dan merealisasikan pelaburan langsung asing (FDI).
Malaysia menarik FDI bernilai US$70 bilion pada suku pertama tahun ini.
Terdapat perubahan dalam industri runcit dan perubahan ini sedang berkembang maju dan menuju ke arah yang betul selaras dengan agenda pendigitalan yang menjadi matlamat kerajaan, kata Phua.
"Dengan inflasi kita di bawah 4.0 peratus dan kadar pengangguran pada 3.9 peratus, akan ada penggunaan tenaga kerja yang optimum pada masa hadapan, bermakna akan ada pengambilan pekerja, tetapi hanya interaksi manusia diperlukan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pusat Pengalaman Teknologi Runcit Web Bytes dan Wonders Cafe di sini pada Jumaat.
Mengenai ringgit yang semakin lemah, Phua berkata ini sebahagiannya disebabkan oleh import barangan dari luar negara termasuk pembelian besar seperti kenderaan, yang telah menambah tekanan ke atas ringgit.
"Ini disebabkan oleh corak penggunaan dan perbelanjaan 'membalas dendam' selepas pandemik. Orang ramai menabung (kerana mereka tidak dapat pergi ke mana-mana semasa perintah berkurung) dan mereka kini berbelanja untuk apa yang mereka mahukan," katanya. Beliau berkata walaupun ringgit semakin lemah, ia akan stabil pada satu masa kelak.
Sementara itu, untuk merancakkan lagi industri runcit, Ekspo Francais Malaysia akan dianjurkan dari 7-9 Julai 2023 di Kuala Lumpur, katanya.
Ekspo itu dijangka menarik kira-kira 40,000 peserta dan pelawat dari 17 negara dengan jangkaan urus niaga bernilai RM120 bilion diraih sepanjang acara tiga hari itu.
Industri runcit merekodkan kadar pertumbuhan 33.3 peratus pada 2022 selepas dua tahun yang tidak menggalakkan pada 2020 dan 2021, katanya. - BERNAMA