Industri peruncitan, keselamatan dan kosmetik paling berdaya tahan ketika pandemik

Fareez Azman
Mei 31, 2020 16:40 MYT
Kajian Statistik Ekonomi Malaysia mendapati peruncitan antara industri yang berdaya tahan ketika pandemik COVID-19. Gambar: Fail
Industri peruncitan komputer, kedai serbaneka, sistem keselamatan dan minyak wangi serta kosmetik antara industri berdaya tahan ketika pandemik COVID-19.
Menurut Jabatan Statistik Malaysia dalam Kajian Statistik Ekonomi Malaysia pada suku pertama berdasarkan bancian mendapati beberapa industri dijangka berdaya tahan manakala beberapa industri dijangka tidak relevan.
"Berdasarkan bancian yang dijalankan Jabatan Statistik Malaysia, kedai serbaneka, penjualan runcit komputer, sistem keselamatan, minyak wangi dan kosmetik dan penjualan internet adalah antara industri runcit terus membangun.
"Industri dengan kecenderungan tinggi untuk menjadi usang adalah penjualan runcit petroleum, gas memasak, arang batu dan kayu bakar, rakaman muzik, kaset audio dan video dan penjualan barang rotan dan anyaman," jelas kajian itu.
Malah ketika hampir semua sektor terkesan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keprihatinan rakyat mengenai keselamatan dan kesihatan menyaksikan perniagaan peruncitan semakin berkembang.
Rata-rata rakyat dilihat lebih memilih kedai serbaneka atau runcit yang lebih kecil berbanding pasaraya disebabkan kekhuatiran akan keselamatan mereka.
"Menariknya, ketika PKP dilaksanakan, rata-rata rakyat prihatin terhadap kesihatan dan kebersihan.
"Maka pertumbuhan kedai runcit yang lebih kecil sebagai pilihan paling digemari oleh pelanggan kerana barisan yang lebih pendek, tempat letak kenderaan yang banyak dan lebih dekat dengan kediaman masing-masing," kata kajian tersebut.
#ekonomi #Jabatan Statistik Malaysia #Kedai Serbaneka #keselamatan #kesihatan #koronavirus #kosmetik #Malaysia #minyak #Minyak Wangi #peruncitan #rakyat #suku pertama
;