Industri perladangan boleh guna pekerja India dan Pakistan - Zuraida

Fareez Azman
Julai 26, 2022 14:52 MYT
Zuraida berkata, tenaga kerja asing dari Pakistan dan India itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja Indonesia dan Bangladesh. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain industri perladangan dan komoditi di negara ini disarankan untuk mendapatkan tenaga kerja asing dari Pakistan dan India bagi memenuhi kekosongan jawatan bagi sektor itu.
Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, tenaga kerja asing dari dua negara itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja Indonesia dan Bangladesh.
"Saya lihat dalam laporan dibentangkan Menteri Sumber Manusia, saya lihat ada potensi pekerja Pakistan bekerja dalam bidang perladangan.
"Saya lihat angkanya meningkat dalam lebih seribu pekerja tak silap saya, jadi itu menjadi potensi," ujarnya.
Tambah Zuraida, sekiranya pemain industri berminat, mereka boleh cuba mengaji pekerja dari dua negara sumber itu.
"Dari negara India juga ada dalam bidang perladangan, jadi saya akan minta pemain industri untuk cuba pasaran India dan Pakistan.
"Jadi (kita) tidak terlalu bergantung kepada Indonesia dan Bangladesh," katanya lagi.
Dalam pada itu mengulas mengenai isu gaji di sektor perladangan, tegas Zuraida, kadar gaji yang ditetapkan sudah mencukupi.
"Dalam industri perladangan telah beri gaji yang terbaik, antara RM2,000 ke RM2,500. Jadi kita tiada isu mengenai gaji," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian MiACES 2022 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.
#industri #perladangan dan komoditi #menteri #Zuraida Kamaruddin
;