Industri penanaman ketum mungkin berkubur tidak lama lagi
Adie Sufian Zulkefli
November 22, 2019 18:29 MYT
November 22, 2019 18:29 MYT
Industri penanaman ketum sebagai hasil pertanian mungkin berkubur tidak lama lagi.
Ini hasil rumusan terhadap sesi dialog antara pengusaha ketum di Kedah dan Perlis bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pertanian Kedah di Jerlun, Kedah baru-baru ini.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetap bertegas, penanaman ketum sudah jelas melanggar peraturan di bawah Akta Racun dan sedang dalam kajian untuk dimasukkan di bawah Akta Dadah Merbahaya.
Justeru itu, Mukhriz mahu petani petani yang menanam ketum perlu mengambil inisiatif sendiri agar mencari alternative untuk bertukar ke tanaman lain.
Beliau berkata, dibawah kanun tanah syarat pertanian tanaman itu mestilah satu tanaman yang mempunyai nilai komersial dan ketum bukan tanaman yang sewajarnya untuk dikomersialkan.
"Masih terletak di bawah Akta Racun dan bukan bawah Akta Dadah Merbahaya, tetapi di bawah Kanun Tanah di bawah syarat pertanian mestilah sejenis tanaman yang mempunyai nilai komersial.
"Biasanya nilai komersial getah, sawit, padi dan tanaman tanaman yang lain, ketum ni dah jelas melanggari peraturan, sebenarnya inisiatif sendirilah yang sepatutnya bagi semua petani ni bertukar ke tanaman yang lain," ujar beliau.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai bersama tok mudim di Napoh dekat Jitra Kedah pada Jumaat.
Baru-baru ini, pengusaha ketum di Kedah dan Perlis berharap kerajaan mempunyai jaminan konkrit dalam memastikan usaha dan inisiatif mereka beralih ke tanaman alternatif mendapat pendapatan setimpal seperti sebelum ini.
Jika pindaan diluluskan, mereka akur dan akan mencari altenatif lain seperti penanaman melon, betik dan pokok tin, pokok salak.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail turut mengemukakan cadangan penanaman ketum perlu dikawal dan hanya untuk industri kesihatan sahaja.
Ini kerana pasukan lumba basikal profesional yang mengungguli empat peringkat perlumbaan berprestij Le Tour de France tidak lama dahulu adalah adalah minuman berasaskan ketum.
Minuman ketones yang digunakan untuk pemulihan dan ketahanan atletnya itu juga digunakan pasukan lain dalam perlumbaan itu dan tidak tersenarai sebagai dadah terlarang dalam sukan.
#AADK
#akta dadah merbahaya
#akta racun
#ketum
#Mukhriz Mahathir
#penanaman ketum
#pertanian
#tanaman