Industri pembinaan perlu terap teknologi digital, kurangkan kebergantungan pekerja asing - Fadillah

Bernama
Mei 31, 2024 22:14 MYT
Fadillah berkata, selain dapat memperkasa kontraktor tempatan, langkah itu secara tidak langsung dapat menutup jurang produktiviti untuk kekal berdaya saing. - Bernama
KUALA LUMPUR: Industri pembinaan perlu menerapkan teknologi digital seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selain dapat memperkasa kontraktor tempatan langkah ini juga secara tidak langsung dapat menutup jurang produktiviti untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Sektor pembinaan merupakan satu daripada penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, saya amat mengalu-alukan usaha berterusan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) sebagai organisasi yang bukan sahaja menjadi saksi kepada evolusi industri pembinaan tetapi pemangkin perubahan yang memacu industri pembinaan Malaysia untuk terus maju.
"Saya juga ingin menyarankan pemain-pemain industri pembinaan supaya menerapkan teknologi digital seperti penggunaan AI, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) secara meluas dalam pengurusan projek pembinaan, sejajar dengan perubahan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Ulang Tahun Ke-70 MBAM malam ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyertaan aktif MBAM dalam pelbagai jawatankuasa teknikal dan kerja-kerja yang berkaitan penggubalan dasar serta pelaksanaan program, harus dipuji.
"Malah, saya sedia maklum bahawa banyak amalan terbaik industri telah dimulakan oleh pemain industri itu sendiri dengan objektif untuk meningkatkan prestasi industri pembinaan di Malaysia.
"Harus diingat, dinamik industri pembinaan akan terus berkembang dan cabaran yang menanti pastinya akan lebih hebat. Namun, harapan saya agar MBAM dan kesemua ahli tidak gentar untuk membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan terus memandang ke hadapan," katanya.
Beliau berkata dengan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu, beliau positif MBAM akan menerajui transformasi dan pembangunan sumber yang ada dalam bidang inovasi, pengetahuan dan kecekapan di samping meningkatkan prestasi industri dalam pelbagai bidang kritikal.
Fadillah berkata tidak dinafikan industri pembinaan amat bergantung kepada usaha bersepadu kerajaan, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Kewangan, serta semua pihak berkepentingan berkaitan untuk membawa industri ini ke tahap profesionalisme lebih tinggi.
"Seiring dengan usaha ahli-ahli MBAM untuk terus melangkah ke hadapan dalam industri pembinaan, kerajaan juga akan terus memberikan nasihat, kepakaran dan sokongan kepada penggiat industri dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu semasa yang dibangkitkan ke arah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi," katanya.
-- BERNAMA
#industri pembuatan #teknologi #AI #kecerdasan buatan #pekerja asing #Fadillah Yusof
;