Industri media perlu tingkat kemahiran, terima kehadiran teknologi AI
Bernama
Mei 20, 2024 13:05 MYT
Mei 20, 2024 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Betulkah kecerdasan buatan (AI) mampu menjejaskan kerjaya dalam bidang kreatif seperti pereka grafik, penyunting visual dan penyampai berita?
Pada masa ini AI telah muncul sebagai daya penggerak dalam perubahan transformasi dalam pelbagai sektor termasuk industri media dan keupayaan teknologi itu dilihat mampu memperkasakan kandungan berita secara lebih kreatif dan menarik, khususnya penyampaian berita di media sosial.
Bagi Ketua Pengarang Astro AWANI Ashwad Ismail, mengintegrasikan teknologi AI ke dalam industri perlu dilihat dari sudut positif dan optimis agar media arus perdana terutamanya tidak ketinggalan.
Ashwad yang juga Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) berkata keupayaan seseorang individu untuk meningkatkan kemahiran akan menjadi elemen penting dalam melangsungkan transisi industri media ke arah teknologi baharu itu.
Teknologi ini juga akan sentiasa berkembang dan perubahan itu memberi impak kepada industri media.
"Peningkatan bakat adalah penting kerana apa jua teknologi yang akan muncul selepas ini, satu daripada kunci utama dalam mendepani kemajuan teknologi adalah untuk terus bertahan dan tangkas (to stay resilient and be agile)," katanya kepada Bernama.
Memandangkan kepesatan inovasi AI membawa pelbagai pertimbangan berkaitan etika, sosial dan kawal selia, Ashwad menyatakan bahawa pemain industri perlu mewujudkan garis panduan dengan mengambil kira cabaran dan kerumitan yang bakal dihadapi.
Baru-baru ini Astro AWANI telah melancarkan JIWA: A Guideline for AI Utilization in Astro AWANI, yang menggariskan panduan penggunaan AI dalam pelaporan berita.
Objektif Garis Panduan AI termasuk menegakkan etika kewartawanan, memupuk kemahiran kewartawanan seperti pemikiran kritis, analisis dan penulisan, melindungi kerahsiaan maklumat dan mempertajam proses kewartawanan.
Sementara itu, Editor Bersekutu (Kandungan dan Digital) News Straits Times (NST) Ahmad Najmuddin Ahmad Najib juga senada bahawa industri media perlu bersedia mendepani cabaran AI.
Ahmad Najmuddin berkata ini bukan kali pertama industri media berhadapan dengan perubahan dalam teknologi yang seterusnya meneroka serta mewujudkan peluang baharu dalam industri.
"Industri media telah bertahan selama ini dan setiap generasi wartawan telah melalui perkembangan pesat teknologi. Daripada mesin taip ke Internet, Internet ke media sosial dan kini AI.
"Jadi setiap generasi akan ada cabarannya. Masa depan mungkin agak kabur sekarang, namun kita akan meneliti perkembangannya, bagaimana untuk menerapkan teknologi itu (dalam industri)," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata NST telah memulakan beberapa projek rintis menggunakan AI untuk menghasilkan berita-berita yang kurang berisiko melibatkan siaran berita akhbar.
Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, satu Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan 'Evolusi Media dalam Era Digital' akan diadakan melibatkan penceramah terkenal dari dalam dan luar negara.
Mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" HAWANA 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.
HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan
#AI
#penyampaian berita
#media sosial
#Ashwad Ismail
#Astro Awani
#industri media