Industri madu kelulut berpotensi tinggi dikembangkan - Dr Zaliha
Hasimi Muhamad
Februari 1, 2025 12:00 MYT
Februari 1, 2025 12:00 MYT
PUTRAJAYA: Madu kelulut dilihat sebagai komoditi baharu yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan, jika ia diuruskan dengan baik dan strategik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, berdasarkan data Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut di Malaysia mencecah hampir 146,000 kilogram dengan nilai melebihi RM21 juta.
Katanya lagi, selain sebagai makanan, ia juga boleh menjadi produk premium dan dieksport dengan nilai tambah seperti produk komestik, atau suplemen kesihatan.
“Khususnya untuk madu kelulut ini, saya kira memang potensinya agak besar.
“Ada banyak produk hiliran yang boleh dihasilkan daripada madu kelulut termasuk kecantikan, kosmetik selain daripada hasil yang bagus untuk kesihatan.
“Saya kira ini juga (potensi) untuk beberapa komuniti di Putrajaya bergiat dalam madu kelulut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.
Dalam masa sama, Dr Zaliha berkata Pelan Induk Pertanian Bandar telah dilancarkan hari ini, meliputi tiga teras dan 17 tindakan.
Ujar beliau, pelan pembangunan itu juga membolehkan penerokaan peluang untuk pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian bandar agar lebih banyak produk hiliran dapat dihasilkan dengan kualiti yang premium dan berstandard global.
“Unjuran perhasilan kepada produk-produk ini sangat tinggi. Contohnya, untuk tahun lepas, kita telah berjaya menghasilkan nilai RM100,000.
“Saya kira kita akan kembangkan (pertanian bandar) kerana setakat ini terdapat 10 kebun komuniti.
“Selepas ini dalam pelan tindakan kita nanti, kita mungkin boleh kembangkan kepada setiap komuniti yang berada di Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya dan Kuala Lumpur,” ujar beliau.
HTPBKP2025 berlangsung hari ini hingga esok bertemakan ‘Jom Bertani Komuniti Madani' dengan mensasarkan kehadiran 1,000 pengunjung pada setiap hari penganjuran.