Industri Landskap Negara disasar sumbang RM40 bilion KDNK menjelang 2035 - Nga

Bernama
Disember 8, 2024 23:32 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tiga, kanan) merasmikan Majlis Pencapaian Landskap Negara 2024 dan Pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
TAIPING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada industri landskap sebanyak RM40 bilion menjelang 2035 menerusi Dasar Landskap Negara (DLN) 2.0 yang dilancarkan hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sasaran itu diletakkkan selepas melihat industri landskap negara kini yang bernilai RM4 bilion.
“Seandainya misi ini berjaya, ia dapat mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan dalam industri landskap. Hal ini yang sememangnya sudah menjadi satu trend apabila orang bukan hanya membeli rumah, tetapi juga membeli lifestyle (gaya hidup).
“Oleh itu, mengikut jabatan perumahan negara projek yang mempunyai taman hijau dalam ruang terbuka, skypark sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan dan khususnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan sukan dan riadah, kesemua ini adalah dalam industri landskap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Sentuhan Kejayaan KPKT Tahun 2024 Jabatan Landskap Negara dan Pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 di sini hari ini.
Nga berkata perkara itu juga termasuk Hari Landskap Negara yang berjaya memperoleh hasil jualan sebanyak RM5 juta dalam tempoh singkat melalui jualan soft landscape.
“Perkara ini kesemuanya akan memberikan pendapatan kepada pengusaha, industri semaian, benih, pokok dan sekali gus menaikkan KDNK negara kita. Sekarang ini industri landskap hanya 0.23 peratus daripada KDNK, oleh itu kita sangat bercita-cita tinggi kerana melihat kepada potensinya dengan harapan pada 2035 industri landskap dapat menyumbang 3.5 peratus KDNK,” katanya.
DLN 2.0 mengandungi lima teras dan 18 strategi serta 47 pelan tindakan yang menumpukan aspek pembangunan landskap mampan, perkembangan industri berkaitan landskap, pemangkin kesejahteraan rakyat dan pembudayaan gaya hidup sihat melalui pembangunan landskap.
Ia juga merupakan pelan jangka panjang ke arah Malaysia negara mampan yang menetapkan misi untuk memastikan pembangunan landskap yang komprehensif, berkualiti dan menyeluruh melalui tadbir urus yang terancang, pemantapan sektor industri dan pemerkasaan keseimbangan biodiversiti.
-- BERNAMA
#KPKT #Dasar Landskap Negara #KDNK #Nga Kor Ming
;