Industri kraf dan kreatif perlu dilonjakkan ke pasaran global - PM
Bernama
November 13, 2016 17:14 MYT
November 13, 2016 17:14 MYT
Penggiat industri kraf dan kreatif negara perlu berani berubah dengan menggunakan pemikiran serta teknologi baharu untuk memperluaskan akses industri itu ke pasaran global.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata industri tersebut berpotensi besar untuk dikembangkan dan tidak seharusnya kekal dalam dunia tradisional dan pasaran tempatan sahaja.
"Kita ada batik yang cantik, songket yang hebat, tenunan Diraja. Saya kagum. Malah saya sendiri pakai songket ketika Asean Summit.
"Industri ini perlu mengalami lonjakan. Ini kerana kita ada budaya, warisan yang dipegang selama ini, maka kita tidak boleh kekal dalam dunia lama dan mesti berani ke depan," katanya.
Najib mahu mereka berani meneroka peluang yang lebih terbuka melalui komuniti wanita yang lebih besar dan bukan hanya tertumpu kepada sempadan ruang lingkup sedia ada. - BERNAMA