Industri kewangan, perbankan akan membincangkan transisi yang adil bagi ekonomi hijau
Bernama
Jun 21, 2023 05:00 MYT
Jun 21, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengamal perbankan dan kewangan akan membincangkan pelbagai isu, cabaran dan peluang dalam melaksanakan transisi yang adil dalam dekad kritikal ini untuk tindakan iklim di Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) di sini minggu depan.
Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan menjadi tuan rumah bersama untuk edisi kedua MBC ini dari 26-27 Jun 2023 yang bertemakan 'Perbankan dan Revolusi ESG: Melangkaui Aspirasi.'
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menyampaikan ucaptama bagi acara itu, manakala Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad akan menyampaikan ucapan khas menteri, kata AICB dan ABM dalam satu kenyataan bersama semalam.
"MBC akan memanggil agensi-agensi kerajaan, pengawal selia, peneraju industri kewangan dan pakar kemampanan untuk berkongsi kepakaran mendalam mereka dan membincangkan inisiatif, perkembangan dan cabaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semasa.
"Ini bagi membangunkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan untuk membantu mengurangkan kesan buruk perubahan iklim dan menyokong transisi yang adil bagi industri kewangan kepada ekonomi yang lebih mampan dan lebih hijau," katanya.
Penceramah pada persidangan itu termasuklah pakar-pakar ESG dan kapten perbankan dan industri kewangan, iaitu daripada Bank Pembangunan Asia (ADB), Bursa Malaysia Bhd, Maybank, Standard Chartered Bank, International Finance Corporation, Climate Impact X, AirCarbon Exchange, Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, AmBank, dan Tenaga National Bhd.
Mereka akan membincangkan topik-topik seperti dasar ESG kerajaan, tadbir urus, pasaran karbon, pembiayaan hijau, cabaran sebenar yang dihadapi oleh industri yang mengeluarkan emisi tertinggi, isu-isu sosial, teknologi iklim, data ESG dan pendedahan, kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AICB Edward Ling menyatakan harapan bahawa MBC akan memberi peluang memajukan lagi dialog domestik mengenai isu penting ESG untuk memacu tindakan iklim yang lebih baik dan mengurus transisi yang adil dalam sektor perbankan dan kewangan di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif ABM Kalpana Sambasivamurthy berkata acara itu dijangka membantu menggalakkan sektor perbankan mengorak langkah seterusnya ke arah matlamat ESG di Malaysia.
Sempena MBC itu, AICB, sebagai ahli pengasas dan ahli lembaga Lembaga Piawaian Pendidikan Perbankan Global (GBEStB), akan menganjurkan acara perdana GBEStB, iaitu Persidangan Institut Perbankan Dunia (WCBI), pada 28 Jun di Kuala Lumpur.
"Bertemakan 'Membina Tenaga Kerja yang Sesuai untuk Masa Depan', WCBI ke-24 akan membincangkan peningkatan dalam kemahiran dan kemahiran semula, yang penting untuk tenaga kerja zaman baharu dalam dunia tanpa sempadan, terutama dengan ESG dan perkembangan digital dan menganalisis pendekatan industri ke arah membina bakat perbankan yang mampan," katanya.
Kedua-dua persidangan itu dijangka menarik hampir 700 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa, tambahnya.
-- BERNAMA