Industri insurans dan takaful sumbang RM8 juta untuk ujian COVID-19
Bernama
Mac 27, 2020 05:41 MYT
Mac 27, 2020 05:41 MYT
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) pada Jumaat berikrar untuk memberi sumbangan sebanyak RM8 juta untuk menubuhkan sebuah dana khas bagi ujian COVID-19.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga persatuan tersebut berkata dana khas untuk ujian COVID-19 itu bertujuan untuk pemegang polisi insurans perubatan dan pemegang sijil takaful perubatan menyokong usaha Kementerian Kesihatan bagi menjalankan lebih banyak lagi ujian COVID-19 terhadap rakyat Malaysia.
"Sumbangan derma itu adalah sebahagian daripada tindak balas industri untuk segera menangani keperluan untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19 ke atas rakyat Malaysia yang secara langsung terdedah kepada virus tersebut," katanya.
LIAM menerajui inisiatif itu dengan sumbangan sebanyak RM5 juta manakala PIAM dan MTA masing-masing menyumbang RM2 juta dan RM1 juta.
Penubuhan Dana Ujian COVID-19 adalah tepat pada masanya dan penting kepada industri kerana ia melengkapkan langkah-langkah bantuan menyeluruh dan insentif sokongan pelanggan yang diumumkan oleh industri itu baru-baru ini.
"Sebagai warga korporat yang prihatin, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab industri untuk membantu pelanggan menghadapi kesan kesihatan dengan segera terhadap virus itu dan kesan ekonomi seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani ujian tersebut untuk membantu mencegah virus berkenaan daripada merebak," katanya.
Industri itu kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan mengenai Dana Ujian Covid-19 RM8 juta itu dan berharap ia dapat memuktamadkan butiran dalam beberapa hari ini.
-- BERNAMA
#COVID-19
#dana khas
#Dana Ujian COVID-19
#insurans
#Kementerian Kesihatan
#Liam
#MTA
#PIAM
#rakyat Malaysia
#sumbangan
#takaful