Industri inap desa Sarawak jana RM4.95 juta, tarik 41,168 pengunjung pada Januari-September 2024

Bernama
November 15, 2024 22:39 MYT
Snowdan berkata pendaftaran dan pengurusan program inap desa terletak di bawah MOTAC, yang memperuntukkan sejumlah RM2.11 juta untuk 15 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Industri inap desa Sarawak menjana pendapatan RM4.95 juta dari Januari hingga September tahun ini sambil menarik 41,168 pengunjung sepanjang tempoh itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan memberitahu Dewan Undangan Negeri Sarawak bahawa pada masa ini terdapat 57 kluster inap desa, dengan 746 pengusaha dan dua kluster "kampungstay" di negeri tersebut.
"Tiga pengusaha berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Persekutuan) (MOTAC).
"Jumlah bilik yang disediakan ialah 1,587 untuk inap desa dan 30 bilik bagi kampungstay," katanya menjawab soalan Datuk Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) pada sesi soal jawab persidangan itu di sini hari ini.
Kementeriannya secara aktif menyokong pelbagai festival makanan serta program yang mempromosikan masakan warisan Sarawak di dalam dan luar negara melalui geran acara pelancongan termasuk dana pemudah cara bagi warisan, seni dan budaya.
Antaranya ialah Pesta Nuba Laya di Limbang, Pesta Makanan dan Kebudayaan Samarahan, Pesta Makanan dan Seni Betong, Pesta Kuih Bulan Antara Budaya Kuching, Pesta Makan Tahun Kedayan (Limbang), Pesta Nukenen (Bario), Rasa Borneo (Miri) serta Pesta Kuih Bulan (Siniawan, Bau).
Snowdan berkata pendaftaran dan pengurusan program inap desa terletak di bawah MOTAC, yang memperuntukkan sejumlah RM2.11 juta untuk 15 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menaik taraf kemudahan awam dalam kluster inap desa untuk mengukuhkan potensi pelancongan di luar bandar.
Beliau berkata manakala, kementeriannya tertumpu kepada program pembangunan komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pengusaha inap desa dan komuniti setempat.
"Antara kursus latihan yang diadakan ialah asas hospitaliti, pemasaran dan pemasaran digital, pakej produk, pengurusan acara, pembuatan kraf dan keselamatan serta latihan kemahiran menyelamatkan nyawa," katanya.
Di samping itu, beliau berkata Majlis Kraf Sarawak menyokong artis tempatan melalui pemasaran digital serta program pemeliharaan ketukangan, ini meningkatkan kualiti produk dan kebolehsuaian pasaran.
"Intervensi ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti produk mereka, kepelbagaian produk dan kebolehsuaian kepada permintaan pasaran," katanya lagi.
-- BERNAMA
#MOTAC #inap desa #atris tempatan #permintaan pasaran
;