Industri dan penyelidik bina ekosistem inovasi mampan - Muhyiddin

Bernama
November 1, 2014 07:45 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Inovasi Negara 2014, Shamsul Bahar Mohd Nor (kanan). - Foto Bernama
Industri tempatan perlu lebih terbuka untuk berkongsi perkembangan semasa dan permasalahan mereka dengan penyelidik tempatan untuk membina ekosistem inovasi terbuka dan mampan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata dialog dua hala itu perlu menjadi satu kebiasaan bagi membina kepercayaan dan menjana pertukaran maklumat.
Justeru, saya berharap platform seperti Malaysia Laboratories For Academia-Business Collaboration (MyLAB) dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua yang terlibat, katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Inovasi Negara 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Sabtu.
MyLAB ditubuhkan tahun lepas dengan peruntukan RM80 juta bagi tujuan memperkukuhkan perkongsian bestari dan inovasi antara penyelidik di universiti dan industri.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin dan timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan sektor swasta kerana kekayaan dan pendapatan negara terhasil daripada peningkatan inovasi dan produktiviti sektor industri dan perniagaan.
Justeru, katanya adalah penting usahawan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), yang mewakili hampir 98 peratus perniagaan di negara ini, turut sama meningkatkan komitmen dan usaha unutk memakmurkan budaya inovasi dan kreativiti.
Selain itu, beliau turut menggesa agar pembangunan penyelidikan dan agenda inovasi bukan semata-mata reaktif kepada masalah semasa, tetapi perlu dilihat secara proaktif untuk masa hadapan negara.
"Kita harus menjangka keperluan generas masa depan dan ini adalah amat penting untuk kesiapsiagaan negara untuk menjadi negara yang benar-benar ke hadapan sebagai pemangkin inovasi global," jelasnya.
Dari segi pemerkasaan agenda penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R,D&C), beliau berkata, sejumlah 239 projek bernilai RM2.76 bilion telah disemak sepanjang 2013 hingga 2014, dengan sebanyak 78 daripadanya bernilai hampir RM680 juta telah diarus perdanakan.
"Ini mencerminkan bahawa kerajaan turut melaksana urus tadbir yang menyeluruh dalam memastikan bahawa hasil R,D&C benar-benar memberi manfaat dan impak kepada pembangunan sosio ekonomi negara," kata Muhyiddin.
Menurutnya, Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha memperkukuhkan agenda inovasi, khususnya menjana persekitaran yang kondusif dan responsif untuk merealisasikan budaya kreativiti dan inovasi yang mantap dan berterusan.
Muhyiddin berkata, melalui Bajet 2015, kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 bilion untuk memperkasa ekosistem tersebut bagi menjana dan meningkatkan hasil inovasi, penyelidikan serta pengkomersilan yang praktikal dan berkualiti.
Pada majlis ini, beliau menyampaikan Anugerah Saintis Muda Negara kepada pakar kejuruteraan kimia, Dr Lim Jit Kang dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Anugerah Juruteknologi Negara kepada Kasron Ahmad, dari bahagian mekanisme dan automasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sijil dan trofi.
Dalam kategori sekolah, Sekolah Kebangsaan Tarcisian Convent, Ipoh, Perak telah memenangi anugerah menerusi projek teknik pengurusan tanaman padi organik - Sri Lovely (kategori akar umbi), USM (kategori perkhidmatan) dan projek 'Thermal De-polimerisation Process of Plastic Waste Material' (kategori produk).
Pemenang bagi kategori produk dan kategori perkhidmatan membawa pulang wang tunai RM50,000 manakala pemenang kategori akar umbi menerima RM20,000 dan sekolah RM10,000.
Anugerah Inovasi Negara sempena Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE 2014) yang berlangsung tiga hari di PWTC bermula semalam.
#inovasi #kreativiti #Muhyiddin Yassin #mylab
;