Industri agromakanan disaran manfaat dana RM210 juta - Ronald Kiandee
Hilmi Malik
November 2, 2021 20:11 MYT
November 2, 2021 20:11 MYT
KUALA LUMPUR : Golongan pemain dalam rantaian industri agromakanan disaran untuk merebut manfaat daripada dana RM210 juta yang disediakan menerusi program Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, program yang dijalankan melalui platform Dana Jaminan Makanan itu membuka ruang kepada usahawan terbabit bagi mendapatkan akses dan pembiayaan yang mudah.
"Menerusi pembiayaan ini, usahawan boleh mendapatkan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti robotik, dron dan blockchain sehingga berjumlah RM1 juta pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.
"Dari sudut Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, ia turut diperluaskan daripada Vesel Zon A dan Zon B kepada Zon C dan Zon C2 untuk pemain industri menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan serta peningkatan kualiti hasil tangkapan.
"Secara tidak langsung, ia dapat menarik minat warga tempatan terutamanya golongan belia menceburkan diri dalam sektor perikanan tangkapan seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing," katanya ketika merasmikan Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan pada Selasa.
Selain itu, pihaknya juga turut mengadakan perbincangan berhubung soal insurans pertanian melibatkan pemain industri yang terjejas terutamanya sewaktu musim tengkujuh.
"Pelan pembangunan insurans itu sedang diusahakan dan ia mungkin akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat untuk manfaat semua pemain industri di negara ini," katanya lagi.