Industri acara perniagaan sedia tawar ruang acara untuk program vaksinasi - Irmohizam

Umavathi Ramayah
Jun 29, 2021 14:02 MYT
WTCKL menerima kunjungan Datuk Seri Nancy Shukri (tengah), semalam. - Gambar WTCKL
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan industri acara perniagaan (BE) yang merangkumi penggunaan ruang besar mampu untuk menampung kapasiti pengunjung berskala besar serta memberi kelebihan dalam aspek crowd control.
Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, ia juga dapat memastikan amalan penjarakan fizikal dilaksanakan bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan COVID-19.
"Industri BE sedia untuk menawarkan perkhidmatan dan menawarkan ruang acara dalam usaha membantu pihak kerajaan untuk mempercepatkan dan mempergiatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Irmohizam memberitahu, pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menjadi bukti industri BE dapat dibuka semula dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Terdapat pelbagai pusat konvensyen di seluruh Malaysia yang boleh dijadikan sebagai PPV untuk menampung kapasiti memvaksin lebih ramai rakyat Malaysia agar kita dapat mencapai 'herd immunity' dengan lebih cepat," katanya yang juga Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik Majlis Penasihat Anggota World Trade Centers Association (WTCA).
Pada Isnin, PPV Mega di WTCKL menerima kunjungan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Ketika kunjungan itu, Nancy turut mengambil peluang bertemu dengan penerima vaksin serta diberikan taklimat oleh pengurusan WTCKL mengenai proses pengendalian vaksin di PPV terbabit.
Selain Irmohizam dan Nancy, turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Biro Konvensyen dan Pameran (MYCEB), Datuk Seri Abdul Khani Daud.
#COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #pelancongan #SOP #Nancy Shukri #PPV mega #WTCKL #PPV #jangkitan #program vaksinasi #Malaysia #rakyat Malaysia
;