Industri '3D': Tenaga tempatan perlu diberi latihan, gaji setimpal - MTUC
Hafiz Marzukhi
Februari 18, 2016 11:58 MYT
Februari 18, 2016 11:58 MYT
Warga kerja tempatan patut diberi latihan serta gaji setimpal untuk bekerja dalam sektor yang dikategorikan sebagai 3D atau dirty, difficult and dangerous (kotor, sukar dan berbahaya).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam berkata langkah ini yang seharusnya diambil kerajaan.
"Jika polisi yang terbaik digubal, kami percaya warga kerja tempatan mampu untuk mengisi permintaan industri-industri 3D ini," kata Gopal Kishnam.
Gopal Kishnam ditemui selepas mengetuai kumpulan ahli MTUC ke kompleks Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada Khamis untuk menyerahkan memorandum bantahan berkenaan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh.
Walaupun tidak dibenarkan masuk, wakil dari kementerian tersebut hadir untuk menerima memorandum tersebut.
Kumpulan tersebut berkumpul sekitar jam 10.15 pagi dan bersurai selepas menyerahkan memorandum, kira-kira jam 11.30 pagi.