Indonesia yakin hubungan dengan Malaysia utuh di tengah cabaran global
Bernama
September 1, 2023 10:00 MYT
September 1, 2023 10:00 MYT
JAKARTA: Menteri Sumber Manusia Indonesia Ida Fauziyah menyuarakan keyakinan hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia akan tetap utuh di tengah situasi global yang dinamik dan mencabar.
Beliau percaya jalinan di sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan dapat terus ditingkatkan melalui komitmen bersama kedua-dua negara memperkukuhkan kerjasama merentasi pelbagai bidang.
"Malaysia adalah rakan dagangan kedua terbesar Indonesia dan menduduki tempat kelima dalam pelaburan pada 2022," katanya di resepsi Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 malam tadi.
Kerjasama juga meluas ke peringkat sub-rantau melalui Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) and the Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP EAGA).
Lawatan pemimpin negara turut mengukuhkan hubungan dengan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Januari dan lawatan Presiden Joko Widodo ke Putrajaya pada Jun, katanya.
Mengenai usaha meningkatkan perlindungan terhadap pekerja Indonesia di Malaysia, Ida Fauziyah menegaskan kerjasama erat sedang terus berjalan dan disambut baik oleh kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin gembira dengan tahap hubungan erat di peringkat kerajaan, ekonomi dan pelaburan serta antara rakyat setakat ini.
"Insya-Allah minggu depan Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta dan ini merupakan lawatan ketiga beliau ke Indonesia tahun ini," katanya.
Acara resepsi anjuran kedutaan berlangsung meriah dihadiri lebih seribu tetamu termasuk bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, ahli-ahli politik dan pemimpin lembaga pemerintah Indonesia, kor diplomatik, komuniti perniagaan, media, dan diaspora Malaysia.
-- BERNAMA