Indonesia pertimbang jadikan Malaysia sebagai model tangani pengganas

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Januari 25, 2016 15:27 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (hadapan, tengah) bergambar bersama para delegasi antarabangsa pada persidangan antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi ancaman keganasan (IDC) 2016 hari ini. - Foto Bernama
Kerajaan Indonesia akan mempertimbangkan untuk menggunakan formula pencegahan jenayah yang dilaksanakan di Malaysia dalam menangani ancaman pengganas di negara itu.
Pengarah Kerjasama Luar Negeri, Badan Anti Pengganas Nasional Indonesia Inspektor Jeneral Petrus Golose berkata pihaknya kini masih mencari formulasi terbaik sebelum sesuatu pindaan atau penambahan undang-undang di laksanakan di negara itu bagi memenuhi hak asasi manusia.
"Kita juga akan belajar dan juga berkongsi bersama-sama Malaysia. Tadi juga saya juga telah bicara bersama Kapala Polisi bicara sama-sama Jaksa Agung tadi dan wakil Menteri Agama.
"Kita akan cari bagaimana kira-kira formulasi apa yang bisa kita kerjasama antara Indonesia dan Malaysia," katanya ketika ditemui media pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Golose berkata tahap dan jenis ancaman yang diterima Indonesia dan Malaysia adalah berbeza.
"Sebenarnya, kalau dibandingkan, saya juga tidak akan membandingkan dengan Malaysia kerana tentangan yang dihadapi berbeza," katanya.
Sehingga kini, dianggarkan 1,095 pengganas telah ditangkap di Republik itu di mana 200 daripadanya sedang menjalani proses deradikalisasi.
Indonesia dilaporkan belum mempunyai sebarang undang-undang yang mampu mengekang ancaman pengganas di negara itu.
Dalam kejadian serangan bom dan senjata api pagi 14 Januari lepas, tujuh orang mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas, manakala lebih 30 orang termasuk lima anggota polis parah.
#ASEAN #Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan #Jeneral Petrus Golose #Najib Razak #Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;