Indonesia minta AirAsia buka semula penerbangan ke Banda Aceh - Anthony Loke
Bernama
Februari 21, 2023 19:20 MYT
Februari 21, 2023 19:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengarahkan syarikat penerbangan AirAsia untuk membuka semula laluan penerbangan ke Banda Aceh, Indonesia atas permintaan kerajaan republik itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia merupakan antara langkah memperkukuhkan ketersambungan pengangkutan yang dibincangkan ketika lawatan rasmi rakan sejawatnya dari Indonesia Budi Karya Sumadi, yang diadakan di Bangunan Parlimen, hari ini.
Loke berkata, sebagai timbal balas, kerajaan telah memohon agar republik itu membantu dan memudahkan syarikat penerbangan Malaysia, untuk memulakan semula penerbangan ke detinasi-destinasi lain di Indonesia, yang terhenti susulan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, Loke memaklumkan, pertemuan empat mata tersebut, turut membincang tentang kemungkinan untuk memulakan perkhidmatan kapal 'roll on-roll off' (RO-RO) antara Dumai, Sumatera dan Melaka, yang sebelum ini telah dibincangkan dari aspek teknikalnya.
"Kami berharap menjelang 2024 (sudah) ada perkhidmatan RO-RO yang akan membawa kenderaan ulang alik antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media bersama berkenaan lawatan rasmi itu di Lobi Bangunan Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Budi berkata, kerjasama dalam sektor pengangkutan adalah selaras dengan arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo, untuk mempererat kerjasama ekonomi Malaysia-Indonesia seperti yang dibincangkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta, bulan lepas.
"Presiden memperintahkan untuk kami meningkatkan hubungan dan keterhubungan ekonomi antara Malaysia dan Indonesia...hubungan kedua-dua negara kita memiliki nilai-nilai ekonomi dan bersifat timbal-balas," katanya. - BERNAMA