Indonesia mewarisi ancaman pengganas, tidak seperti Malaysia - Penganalisis
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Januari 26, 2016 16:54 MYT
Januari 26, 2016 16:54 MYT
Cabaran ancaman keselamatan yang dihadapi Indonesia adalah amat berbeza berbanding apa yang berlaku di Malaysia.
Deligasi Institut Kajian Polisi Konflik Indonesia, R. Sidney Jones berkata cabaran yang dihadapi Indonesia lebih besar kerana telah wujud jaringan legasi puak pelampau jihad dalam tempoh yang begitu lama.
"Pada 1950an, Kerajaan Indonesia berhadapan dengan puak pelampau di Jawa Barat, Sulawesi, Acheh dan Timur Kalimantan diikuti dengan kebangkitan semula puak tersebut pada 1970.
"Ia diikuti pula dengan Jemaah Islamiah (JI), termasuk kumpulan pecahan kecil JI, kemudian serangan di Ambon pada 1991 hingga 2001 yang terus membuatkan mereka yang menetap di negara itu (Indonesia) menyertai kumpulan ekstremis kononnya mempertahankan rakan seagama mereka," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di sini hari ini.
Tambahnya, apa yang terjadi di Indonesia pada hari ini boleh diibaratkan sebagai tragedi yang diwarisi sebelum ini.
Membandingkan Malaysia, Sidney berkata tidak banyak serangan puak radikal berlaku di negara ini sejak 1940an.
"Malaysia tidak ada isu tersebut (seperti Indonesia). Di Malaysia apa yang saya nampak adalah usaha melawan komunis pada 1940an dan semasa darurat. Selain itu usaha untuk menangani Jemaah Islamiah (JI).
"Sebaliknya Indonesia lebih terdedah malah mempunyai serangan berterusan puak pengganas radikal," katanya.
Justeru, beliau berkata tidak semua sistem perundangan yang dilaksanakan di sesebuah negara itu sesuai diguna pakai di negara lain.
"Saya tidak rasa dalam semua kes, penyelesaian yang sama boleh diguna pakai di semua negara. Ada (penyelesaian) yang boleh, ada yang tidak.
"Ia amat sulit. Saya tidak rasa anda boleh kata 'ini' boleh dilaksanakan di Malaysia, maka lakukannya di Indoensia dan ia akan berkesan," ujarnya.