Indonesia-Malaysia sepakat draf MoU penempatan, perlindungan PDI

Bernama
Mac 19, 2022 14:27 MYT
Kesepakatan yang dicapai dalam MoU termasuk soal gaji, cuti mingguan dan tahunan, hak berkomunikasi, larangan menahan pasport dan seorang PDI berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang. - Gambar hiasan
JAKARTA: Kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan penyelesaian draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.
Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia dalam ciapan Twitternya menyatakan jadual menandatangani MoU antara menterinya Ida Fauziyah dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan sedang ditentukan.
Kesepakatan yang dicapai dalam MoU termasuk gaji, cuti mingguan dan tahunan, hak berkomunikasi, larangan menahan pasport dan seorang PDI berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.
'One channel system' akan diperkenalkan bagi mengintegrasikan proses penempatan PDI bermula dari pengambilan, persiapan, keberangkatan, penempatan hingga kepulangan yang dipantau kerajaan.
MoU PDI ditandatangani buat pertama kali pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Indonesia berharap Malaysia dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dapat melaksanakan MoU dengan konsisten, kata Ida Fauziyah ketika menerima kunjungan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono di pejabatnya.
Hermono, yang menyambut baik MoU itu, berkata ia boleh dijadikan 'best practice' atau panduan untuk MoU dengan negara-negara lainnya.
-- BERNAMA
#pekerja asing #Tenaga Kerja Indonesia #Memorandum Persefahaman #sumber manusia
;