Indonesia, Malaysia dan Singapura bincang keselamatan pelayaran di Selat Melaka

Bernama
Ogos 4, 2023 04:20 MYT
Pegawai dari Indonesia, Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha meningkatkan keselamatan pelayaran dan perlindungan maritim di Selat Melaka dan Singapura. - Facebook Jabatan Laut Malaysia
JAKARTA: Pegawai dari Indonesia, Malaysia dan Singapura baru-baru ini mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha meningkatkan keselamatan pelayaran dan perlindungan maritim di Selat Melaka dan Singapura (SOMS).
Mesyuarat Kumpulan Pakar Teknikal Tiga Pihak (TTEG) ke 46 selama dua hari berakhir Khamis diuruskan oleh Malacca Straits Council (MSC).
Agenda yang dibahas termasuk pertukaran maklumat mengenai kemajuan mekanisme kerjasama dan pelaporan perkembangannya, menurut Kementerian Perhubungan Indonesia dalam satu kenyataan.
Delegasi Indonesia diketuai Direktorat Jenderal Perhubungan Laut memaklumkan negaranya mengambil bahagian secara aktif membahas dan memuktamadkan inisiatif baharu berkaitan pembangunan tatacara pengendalian piawai (SOP) keselamatan perkapalan di SOMS.
Pengarah pelayaran Kapten Budi Mantoro yang menyertai delegasi Indonesia berkata input diberikan dalam meningkatkan Projek 14 yang merupakan inisiatif baharu mengenai Bantuan Maya Pengemudian, dan Projek 15 mengenai pembangunan SOP untuk mengendalikan insiden kontena jatuh ke laut.
"Kami turut membincangkan rancangan untuk menyemak semula sistem laluan kapal dan sistem pelaporan kapal, serta membincangkan lebih lanjut Projek 13 yang dimulakan oleh MSC sebagai kesinambungan TTEG atau Bahagian Dua daripada Mesyuarat TTEG ke-46 pada Januari dan Februari 2024," katanya.
Menurut Budi, SOMS selama ini berfungsi sebagai antara laluan pelayaran strategik dan penting di dunia disebabkan jumlah trafik yang banyak, jarak laluan, dan kedudukan geografi sekaligus menjadi cabaran berterusan bagi tiga negara pesisir pantai untuk memastikan keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar serta marin.
Namun komitmen yang dicapai pada mesyuarat itu bukan sahaja ditujukan kepada tiga negara terlibat, tetapi juga pertubuhan antarabangsa, negara pengguna dan pihak berkepentingan lain seperti yang ditetapkan oleh Perkara 43 UNCLOS, katanya.
Pihaknya turut menghargai apa yang disepakati oleh Indonesia, Malaysia, dan Singapura sehingga diwujudkan TTEG pada 1977, memandangkan tiga negara telah menjaga kerjasama yang baik dalam hal-hal yang berkaitan SOMS selama hampir lima dekad.
"TTEG telah terbukti menjadi platform yang efektif untuk menlaksanakan langkah-langkah koordinasi demi menjaga keselamatan, kebersihan, dan keamanan pelayaran di SOMS," katanya.
-- BERNAMA
#Selat Melaka #keselamatan maritim #kerjasama antara negara #Malaysia #Singapura #Indonesia
;