Indonesia mahu rundingan CoC Laut China Selatan segera dimuktamad

Tan Su Lin
November 22, 2015 15:58 MYT
Indonesia bertegas mengatakan isu pertindihan itu perlu diselesaikan secara aman berlandaskan undang-undang antarabangsa. - Gambar Bernama
Indonesia mahu rundingan mengenai kod tata laku (CoC) di Laut China Selatan segera dimuktamadkan.
Biarpun Indonesia tidak terlibat dalam isu pertikaian dalam tuntutan wilayah di Laut China Selatan, Presidennya, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi melihat pelaksanaan COC perlu bagi melindungi keselamatan serantau.
Ketika ini empat negara anggota asean iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, China dan Taiwan mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Jokowi turut berkata isu pertindihan itu perlu diselesaikan secara aman berlandaskan undang-undang antarabangsa.
“Hukum laut international harus dihormati. Kita harus memuktamadkan setiap elemen dalam konvensyen itu sehingga ia dapat itu diimplementasi agar menjadi lebih jelas. Saya rasa itu ke depan untuk Laut China selatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pemeteraian deklarasi kuala lumpur 2015 mengenai penubuhan komuniti asean, di ibu negara.
Dalam pada itu, Jokowi turut menyatakan kesediaan Indonesia menyertai kuasa baharu serantau, komuniti ASEAN.
“Kita (Indonesia) tidak usah takut, mahu tidak mahu kita harus hadapi yang paling penting apa yang belum baik, harus diperbaiki,” katanya.
Komuniti ASEAN yang bakal dilancarkan pada 31 Disember kelak akan meningkatkan lagi integrasi antara negara anggota ASEAN dalam bidang ekonomi, sosio- budaya, politik dan keselamatan.
#ASEAN #Brunei #China #CoC #Filipina #Indonesia #Jokowi #Kod Tata Laku #Laut China Selatan #Malaysia #Taiwan #Vietnam
;