Indonesia mahu kerjasama dengan Sarawak dalam perdagangan karbon

Bernama
Mei 24, 2023 19:01 MYT
Menurut Hermono, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia yang berada di kepulauan Borneo mempunyai potensi besar dalam perdagangan karbon kerana kawasan hutannya yang belum diterokai. - Gambar Bernama
KUCHING: Indonesia mahu bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam perdagangan karbon, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Beliau berkata perkara itu antara dibincangkan semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Menurut Hermono, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia yang berada di kepulauan Borneo mempunyai potensi besar dalam perdagangan karbon kerana kawasan hutannya yang belum diterokai.
"(Pada kunjungan hari ini) kita turut membawa pakar dalam bidang perdagangan karbon dan akan ada tindakan susulan selepas ini untuk merealisasikan kerjasama ini.
"Abang Johari juga mencadangkan beberapa perkara dalam kerjasama Malaysia dan Indonesia termasuk bagaimana kita melawan kritikan terhadap minyak sawit," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat berkenaan.
Mengulas mengenai penerbangan terus menghubungkan Jakarta dan Kuching oleh AirAsia yang akan bermula pada 15 Jun depan, Hermono berkata penerbangan itu bakal melonjakkan kerjasama pelbagai sektor di kedua-dua lokasi tersebut.
"Penerbangan ini akan memudahkan lagi pergerakan, kita harap lebih banyak penerbangan terus seperti ini agar menghubungkan kota-kota besar lain di kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #perdagangan karbon #Kepulauan Borneo #tindakan susulan
;