Indonesia hasrat kerjasama dengan bandar utama Sarawak

Bernama
Januari 20, 2023 18:42 MYT
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata kerjasama itu antara lain meliputi bidang pengangkutan, perniagaan dan pendidikan tinggi. - Gambar fail
SIBU: Indonesia menyatakan hasratnya untuk menjalin kerjasama erat antara Kalimantan Timur dan Barat dengan bandar-bandar utama di Sarawak.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata kerjasama itu antara lain meliputi bidang pengangkutan, perniagaan dan pendidikan tinggi.
Beliau berkata kerjasama lebih erat antara Sarawak dan Indonesia khususnya Kalimantan amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kedua-dua kawasan itu.
"Terdapat keperluan untuk menjalin kerjasama dari segi pengangkutan bagi mewujudkan hubungan yang lebih baik antara Kalimantan dan Sarawak.
"Setakat ini, terdapat perkhidmatan bas setiap hari dari Kuching ke Pontianak. Selain mencari lebih banyak perkhidmatan bas untuk sampai ke bahagian lain di Kalimantan, pihak kita juga melihat potensi kerjasama dari segi penerbangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melakukan lawatan kerja ke Penjara Pusat Sibu dan mengadakan pertemuan dengan pekerja-pekerja ladang di Sibu.
Raden Sigit Witjaksono memberitahu semasa lawatan ke Sibu tahun lepas, beliau telah berkunjung ke Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Menurut beliau bandar Sibu adalah sebuah tempat yang sangat unik dan terdapat banyak ruang yang berpotensi untuk mengadakan kerjasama itu.
Pihaknya meneliti untuk mengadakan kerjasama dengan UTS kerana terdapat ramai pelajar berpotensi di Kalimantan.
Pada masa ini terdapat ramai pelajar dari Kalimantan Barat belajar di institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Swinburne di Kuching.
"Kenapa mereka tidak pergi lebih jauh seperti UTS misalnya. Saya percaya ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar Indonesia tetapi juga UTS sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#Indonesia #kerjasama #Sarawak #Raden Sigit Witjaksono
;