Indonesia harus ikhlas atasi jerebu - Penganalisis

Hasbullah Awang Chik
Jun 20, 2013 07:44 MYT
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata Indonesia seharusnya lebih ikhlas dalam menangani isu jerebu yang telah memberi kesan kepada tahap kualiti udara negara serantau.
"Ketiga-tiga negara seharusnya berbincang secara serius. Indonesia sepatutnya lebih ikhlas mahu menyelesaikan masalah.
"Singapura dan Malaysia boleh membantu dari segi teknologi. Jika salah satu negara tidak ikhlas untuk membantu atau mahu menyelesaikan masalah maka isu ini akan berulang setiap tahun," jelas Azmi.
Penganalisis itu turut memberitahu Indonesia tidak seharusnya menuding jari kepada syarikat luar atas insiden jerebu yang berlaku di negara berkenaan.
"Kita tahu banyak syarikat Malaysia dan Singapura melabur dalam industri perladangan. Itu tidak dapat dinafikan.
"Walaupun benar tuduhan Indonesia, ia tidak menangkis tanggungjawab Indonesia sebagai sebuah negara.
"Tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tertakluk kepada negara yang menyebabkan punca berlakunya jerebu," ujar Azmi.
Azmi turut menyelar tindakan kerajaan Indonesia yang menolak bantuan dari Singapura.
"Inilah masalah Jakarta. Mereka mempunyai harga diri yang agak tinggi. Bantuan Singapura mungkin sedikit namun itu adalah satu permulaan yang baik.
"Bantuan ini bukannya 100 peratus. Tetapi sebagai satu permulaan kerana apa yang berlaku di Indonesia memberi kesan yang begitu buruk kepada negara jiran.
"Sebagai menjaga hubungan diplomatik, Indonesia seharusnya berterima kasih dan menerima bantuan kewangan daripada Singapura," tambah Azmi.
Sementara itu, geostrategis itu memberitahu Indonesia tidak seharusnya menolak pelawaan Malaysia dalam membantu membangunkan teknologi perladangan di Indonesia.
"Pembangunan ladang yang lebih lestari dari Malaysia boleh dipelajari oleh Indonesia. Namun, adakah Indonesia mahu menerima saranan tersebut kerana ianya melibatkan perbelanjaan yang besar," jelas Azmi.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Muar pada Khamis mencecah 383 manakala Pasir Gudang turut mencatatkan bacaan 333 berbanding 199 yang direkodkan pada jam 11 pagi pada hari yang sama.
Jabatan Pendidikan Daerah Muar hari ini telah mengarahkan sekolah di daerah berkenaan ditutup sehingga Jumaat ekoran bacaan IPU yang berada pada paras bahaya.
#Azmi Hassan #Geostrategis #ikhlas #jerebu #kualiti udara #negara serantau #UTM
;