Indonesia harap yuran birokrasi amah dikurangkan - Duta
Bernama
Jun 8, 2018 23:58 MYT
Jun 8, 2018 23:58 MYT
Indonesia berharap kerajaan baharu Malaysia dapat mempertimbang untuk mengurangkan yuran birokrasi bagi pengambilan pembantu rumah dalam usaha membanteras kemasukan rakyatnya secara haram ke negara ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana berkata beliau akan mencadangkan perkara itu kepada kerajaan Malaysia bagi memastikan majikan negara ini dapat mengambil amah terlatih pada kadar yang lebih murah.
"Seharusnya, kedua-dua negara membaiki pembiayaan pekerja, contohnya, pembikinan pasport, pemeriksaan perubatan dan latihan.
"Kerajaan Indonesia akan menampung pembiayaan itu manakala yuran birokrasi yang dikenakan Malaysia harus dikurangkan untuk mengurangkan kemasukan secara haram warga Indonesia ke negara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) di sini, hari ini.
Majlis itu, yang dianjurkan untuk meraikan ikatan persahabatan antara wartawan Indonesia-Malaysia, dihadiri Presiden ISWAMI Datuk Zulkifli Salleh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bernama serta tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaafar dan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Rusdi juga berharap kerajaan dapat membenarkan pihaknya membuka Pusat Pendidikan Komuniti (CLC) untuk anak-anak Indonesia di Semenanjung Malaysia seperti yang dibuka di Sabah dan Sarawak.
"Ini kerana ramai anak-anak pekerja Indonesia yang lahir di negara ini dan berumur dari enam hingga 11 tahun masih tidak tahu membaca dan ketinggalan dalam pelajaran," katanya.
Beliau memberitahu bahawa anak-anak Indonesia berhak mendapat akses pendidikan kerana jika dibiarkan, mereka akan menjadi beban bagi kerajaan Indonesia dan Malaysia.
Pada masa ini, terdapat lebih 250 CLC di Sabah dan Sarawak, katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos melarikan diri ke Indonesia, Rusdi berkata Indonesia bersedia membantu Malaysia mengesannya.
"... dari segi prinsipnya, kita (Malaysia-Indonesia) mempunyai perjanjian deportasi. Jika ada permintaan dari Malaysia, kita pasti lakukan apa yang bersesuaian dengan perjanjian yang dimeterai," katanya.
-- BERNAMA
#amah
#birokrasi
#duta
#haram
#Indonesia
#Jamal Md Yunos
#kemasukan
#kerajaan
#Malaysia
#murah
#pembantu rumah
#Rusdi Kirana
#terlatih
#yuran