Indonesia bangkitkan isu Laut China Selatan di Mesyuarat JCBC bersama China

Bernama
Februari 22, 2023 06:15 MYT
Qin Gang tiba pada Selasa untuk lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia yang merupakan kunjungan pertama ke rantau ini sejak pelantikannya pada hujung tahun lepas. - Foto BERNAMA
JAKARTA: Indonesia membangkitkan isu Laut China Selatan semasa mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) keempat Indonesia-China pada Rabu.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata rundingan mengenai kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan perlu segera diteruskan setelah tertunda akibat pandemik.
Dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari China, Qin Gang di sini, beliau berkata Indonesia dan ASEAN ingin menghasilkan CoC yang 'efektif, substantive dan actionable'.
"Indonesia ingin melihat Laut China Selatan sebagai laut yang damai dan stabil. Penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, terutama UNCLOS 1982, menjadi kunci," katanya.
Isu Myanmar dan pelaksanaan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific untuk ASEAN serta perdagangan, pelaburan, kerjasama di bidang kesihatan dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara turut dibincangkan.
Qin Gang tiba pada Selasa untuk lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia yang merupakan kunjungan pertama ke rantau ini sejak pelantikannya pada hujung tahun lepas.
Sebelum mesyuarat JCBC, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Merdeka.
Pada pertemuan itu, Retno berkata Qin Gang menyampaikan komitmen China untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama dan meningkatkan import dari Indonesia khususnya produk pertanian.
Jokowi pula berharap kerjasama strategik dipertingkatkan termasuk menyiapkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung, pembinaan taman industri hijau di Kalimantan, pembinaan Nusantara dan industri hiliran.
-- BERNAMA
#Laut China Selatan #JCBC #Kod Tatalaku #UNCLOS
;