Indonesia akan tolak selagi Malaysia guna istilah 'Bahasa Melayu'

Astro Awani
April 21, 2022 22:59 MYT
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Kamaruddin M. Said mencadangkan agar sebuah majlis baharu diwujudkan bagi mengangkat Bahasa Malaysia di peringkat Asia dan global secara amnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Indonesia akan sentiasa menolak selagi negara ini menggunakan istilah 'Bahasa Melayu' untuk diangkat sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.
Ini kerana menurut Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Kamaruddin M. Said, Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia membawa pengertian cukup berbeza buat rakyat negara itu.
"Saya seorang yang pragmatik, kalau saya yakin perkara itu boleh berjaya, saya akan katakan boleh berjaya, kalau saya rasa perkara itu tidak mungkin berjaya, saya pun kata tidak mungkin berjaya.
“Dalam kes ini, pada saya hasil daripada kerjasama MPN dengan Asosiasi Profesor Indonesia (API) dan Dewan Guru Besar Seluruh Indonesia (DGBSI), saya cenderung mengatakan selagi Malaysia berkeras menggunakan perkataan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia, bukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi Malaysia, selagi itu Indonesia akan menolak kita," katanya pada Khamis.
Malah, ujar beliau lagi, Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang telah wujud sekian lama tidak dapat berfungsi dengan baik apabila Bahasa Melayu mula digunakan.
"Tetapi pada saya, seorang yang pragmatik, kalau penutur bahasa itu (bahasa Indonesia) berjumlah 200 juta rakyat dan penutur bahasa Melayu kita berjumlah 20 juta rakyat, tentu 200 juta ini yang menentukan. Sebab penuturnya ramai, dan bahasa ini berkembang dalam bidang akademik, budaya dan sebagainya.
"Bahasa Melayu juga datangnya daripada bahasa Riau," jelasnya.
Sehubungan dengan itu, Kamarudin mencadangkan agar sebuah majlis baharu diwujudkan bagi mengangkat Bahasa Malaysia di peringkat Asia dan global secara amnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Minda Profesor Negara bertajuk, 'Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia: Apa Ada Pada Nama?' yang disiarkan di Facebook Majlis Profesor Negara pada Khamis.
"Kita hendakkan bahasa ini, Bahasa Malaysia, Indonesia, Brunei ini menjadi Lingua-Franca yang penting bukan sahaja di Asia, tetapi di dunia. Apa ada pada nama? Tukar sahaja nama itu dari ungkapan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia.
"Sedangkan keputusan itu sudah dibuat oleh Kabinet, tetapi tidak dipatuhi oleh pihak-pihak tertentu. Saya tidak faham mengapa terlalu taksub pada Bahasa Melayu.
"Sebagai bahasa utama negara, sebagai bahasa rasmi negara, melambangkan identiti negara. Apa salahnya kita gunakan bahasa Malaysia, keputusan itu sudah dibuat oleh Kabinet pada 2007," katanya.
Tegas beliau, kuasa penukaran serta penggunaan itu kini terletak pada Dewan Bahasa dan Pustaka serta MABBIM.
#DBP #MABBIM #Bahasa Melayu #bahasa ASEAN #bahasa rasmi #Majlis Profesor Negara #Indonesia #Brunei
;