Individu yang 'gembira' dengan musibah adalah orang jahat, patut duduk di hutan - MB Kedah

Abd Hadi Che Awang
Mei 10, 2022 15:06 MYT
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua dari kanan) melakukan tinjauan di kawasan runtuhan ban di Sungai Santap, Pelubang di Jitra, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
JITRA: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan individu yang gembira setiap kali berlakunya bencana atau musibah, sebagai seorang yang jahat dan tidak patut berada dalam lingkungan masyarakat.
Menteri Besar Kedah itu juga membidas golongan berkenaan yang gemar mencetus dan menyebar kontroversi tanpa asas sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
"(Saya tengok) ada orang bergembira dengan perkara seperti ini, saya rasa ini budaya tidak baik, bila berlaku kecemasan, kita harap perkara ini dapat diatasi dengan tindakan pihak berwajib,
"Orang ini (juga) tidak patut menyebarkan perkara yang kontroversi dan (mana-mana pihak yang) menimbulkan kebimbangan orang ramai (susulan apa yang berlaku) patut dihentikan,
"Kalau ada orang bergembira dengan kemalangan macam ini saya rasa dia ada masalah ataupun dia memang jahat, kalau orang baik dia tidak jadi macam itu, orang jahat tak patut hidup bersama kita, dia patut duduk dalam hutan," kata beliau.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di kawasan runtuhan ban di Sungai Santap, Pelubang di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi pengguna media sosial susulan kejadian runtuhan ban kanan Terusan Tengah di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang, semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menasihati penduduk di beberapa kawasan khususnya Alor Setar, Yan dan Gurun untuk melakukan penjimatan penggunaan air agar tidak menjejaskan mereka sekiranya operasi di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan ditutup.
"Saya ingin nasihatkan pengguna di beberapa kawasan untuk berjimat khususnya di Alor Setar, di Gurun, di Yan untuk berjimat cermat dengan penggunaan air kerana kita tidak tahu LRA yang sedang beroperasi ketika ini dapat bertahan lama mana," jelasnya.
Terdahulu, ban kanan Terusan Tengah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang runtuh di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang petang semalam telah menyebabkan berlakunya masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan.
Berdasarkan infografik yang dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman (SADA), dua Loji Rawatan Air (LRA) iaitu iaitu LRA Pokok Sena dan LRA Bukit Pinang terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja kecemasan sehingga memberi kesan kepada 75,000 akaun pengguna melibatkan kawasan Kota Setar dan Pokok Sena.
#musibah #orang jahat #Menteri Besar Kedah #Struktur Alor Limpah
;